Bersatukah Pakatan Dalam PRK Permatang Pauh Dan Rompin? - pakdin.my

pelancaran-PRK-Permatang-Pauh

Selain siapakah calon pakatan pembangkang bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang dan Rompin, Pahang yang diadakan awal bulan depan, perhatian umum akan pastinya turut tertumpu kepada keutuhan permuafakatan, yang dibina pakatan PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketiga-tiga parti yang mengadakan kerjasama politik sejak 2008, kini mengalami konflik dalaman cukup hebat sehingga menyaksikan pakatan di Sarawak dan Sabah berpecah selepas DAP dan PKR kedua-dua negeri itu memutuskan hubungan politik dengan PAS berikutan tidak bersetuju dengan hasrat PAS melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

PAS sering menjadi ‘mangsa’ kerana agenda perjuangannya untuk melaksanakan hukum hudud ditentang habis-habisan oleh DAP dan PKR. Bahkan ada yang mendesak PAS meninggalkan pakatan pembangkang.

KERJASAMA BERTAUT KEMBALI?

Seperti yang diketahui umum, matlamat utama kerjasama politik antara PAS-DAP-PKR adalah untuk menumpaskan Barisan Nasional (BN). Justeru, dalam siri PRK Permatang Pauh dan Rompin, yang masing-masing kerusi tradisi bagi PKR dan PAS, apakah mungkin jalinan kerjasama politik akan bertaut kembali?

Mengulas perkara itu, penganalisis politik Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain berkata meskipun perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil dalam politik, namun yang boleh dipersoalkan ramai pihak ialah keikhlasan dalam menjalin kerjasama.

“Perhatian bukan kepada Permatang Pauh tetapi sebaliknya Rompin. Rompin ini PAS yang bertanding, jadi DAP sudah tentu akan bekerja keras di Permatang Pauh tetapi belum tentu lagi di Rompin,” katanya.

Pada Isnin, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dilapor sebagai berkata parti itu akan membantu calon PKR di PRK Permatang Pauh.

Mohamad, yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS bagi kerusi Permatang Pauh, dilapor berkata bantuan itu dilakukan atas nama PAS dan Pakatan Rakyat.

Seorang lagi penganalisis politik, Che Hamdan Che Mohd Razali pula berpendapat perkara itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kelaziman sebelum ini, walaupun wujud krisis dalaman pakatan pembangkang, kerjasama akan terjalin apabila pilihan raya diadakan.

“Ini kerana sentimen bahawa Barisan Nasional merupakan musuh bersama adalah ‘tali pengikat’ antara mereka. Satu perkara lagi, mereka saling memerlukan antara satu sama lain memandangkan dua PRK diadakan pada masa yang hampir sama,” katanya kepada.

ISU SEMASA PENGARUHI POLA PENGUNDIAN

Meskipun kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan diadakan atas faktor berbeza, selain faktor calon, elemen simpati akan turut mempengaruhi pola pengundian di kawasan ini.

Di samping itu, keutuhan dan prestasi parti-parti yang bertanding juga mungkin menjadi pertimbangan pengundi sebelum menyatakan sokongan mereka.

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas penyandangnya, Anwar, 68, hilang kelayakan sebagai wakil rakyat berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac menolak petisyen pengampunan diraja yang dikemukakan anggota keluarganya.

Anwar dihukum penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008 dan kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas. Jamaluddin, yang memegang kerusi itu selama enam penggal sejak 1990, meninggalkan rekod perkhidmatan cemerlang, menjadikan Rompin sebagai kubu kuat Umno.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, Anwar mengalahkan calon BN Datuk Mazlan Ismail dan calon bebas Abdullah Zawawi Samsudin dengan majoriti 11,721 undi manakala Jamaluddin mengalahkan bekas ketua Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Mohd Izani berpandangan perkembangan isu semasa yang menjadi perbahasan umum seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), 1MDB dan teguran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta isu pemenjaraan Ketua Umum PKR berkemungkinan mendominasi siri kempen pembangkang.

Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata impak perpecahan pakatan pembangkang di Sarawak dan Sabah bagaimanapun dijangka tidak memberi kesan yang besar kepada pakatan PAS, PKR dan DAP.

“Isu-isu nasional ini yang akan menjadi penentu kepada pola pengundian,” katanya.

PERGESERAN PENGARUHI JENTERA

Tidak tempangkah jentera pakatan pembangkang selepas pergeseran demi pergeseran berlaku antara PAS, PKR dan DAP?

Che Hamdan, yang juga pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu, berkata pergeseran yang berlaku dalam pakatan pembangkang sedikit sebanyak akan mempengaruhi gerak kerja jentera parti.

“Terdapat kemungkinan besar ada tokoh-tokoh pemimpin parti (PAS, DAP dan PKR) akan memboikot secara senyap kedua-dua PRK. Ini akan mempengaruhi kehadiran jentera pilihan raya dari seluruh negara.

“Bagi BN pula, akan menjadi satu liabiliti kepada mereka kerana terpaksa bergerak dalam bentuk yang defensif bagi membalas serangan yang hebat berkenaan dengan pelaksanaan GST dan juga kritikan Tun Dr Mahathir,” katanya.

Daripada segi peluang, beliau meramalkan bahawa PKR dan BN mengekalkan status quo masing-masing di Parlimen Permatang Pauh dan Rompin.

Penamaan calon bagi PRK Permatang Pauh adalah pada 25 April dan pengundian pada 7 Mei manakala bagi PRK Rompin, penamaan calon pada 22 April dan mengundi ditetapkan pada 5 Mei.

UTAMAEDITORIAL1MDBBersatukah Pakatan Dalam PRK Permatang Pauh Dan Rompin?

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium