KLANG: Seorang pengawal keselamatan maut manakala enam lagi cedera selepas tiga pondok pengawal di sebuah taman perumahan di Bandar Bukit Raja di sini diserang dan dibakar sekumpulan lelaki, awal pagi Sabtu.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Ridzhuan Che Bi, 26; manakala lima lagi pengawal keselamatan yang cedera adalah N. Arujunam, 64; Aziz Salim, 56; K. Muniandy, 61; A. Naagendran, 26 dan S.Renganathan, 45.
Turut cedera seorang lagi yang dikenal pasti sebagai S.Kannan, 45.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supt Zailan Tasir berkata polis menerima panggilan kira-kira pukul 2 pagi tadi memaklumkan tiga pondok pengawal keselamatan sekitar taman perumahan Bandar Bukit Raja diserang dan dibakar sekumpulan lima lelaki yang tidak dikenali.
Katanya ketika kejadian, Muhammad Ridzhuan yang berasal dari Pulau Pinang sedang bertugas di sebuah pondok di taman perumahan itu manakala kesemua mangsa yang cedera berada di dua pondok berasingan yang terletak berhampiran.
“Siasatan awal mendapati dua pondok keselamatan dibakar manakala satu lagi dipecah cermin tingkapnya. Punca kejadian dipercayai berlaku akibat perebutan kawasan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata pihak forensik telah mengambil kesan darah dan tiga cap jari di tempat kejadian dan siasatan awal mendapati kesemua tiga pondok pengawal baharu didirikan di kawasan itu.
Katanya pengawal keselamatan yang maut terbakar dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini untuk bedah siasat, manakala enam lagi yang cedera sedang menerima rawatan di hospital sama.