Ahli Parlimen Johor Bharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, jika Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ‘belot’ semasa pemilihan UMNO pada 1987, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan kekal sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika ini.
Najib, Shahrir ketika itu berada dalam Team B yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah menentang Dr Mahathir yang berada dalam Team A.
Bagaimanapun, Najib menukar keputusannya untuk menyertai Team A dan menyokong Dr Mahathir pada saat-saat akhir.
Tengku Razaleigh yang berpasukan dengan Tun Musa Hitam, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Rais Yatim serta Datuk Harun Idris hanya tewas 43 undi kepada Dr Mahathir.
Untuk rekod, Najib ketika itu ada pemangku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan Menteri Belia dan Sukan.
“Dan kerana Datuk Seri Najib masuk Team A itulah Tun Dr Mahathir menang jawatan Presiden dan kekal sebagai Perdana Menteri,” ujar Shahrir.
Ini membawa maksud, Dr Mahathir patut terhutang budi kepada Najib bukannya berterusan meyerang Perdana Menteri kebelakangan ini.
Shahrir, kini Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) membangkitkan perkara itu dalam rancangan Soal Jawab TV yang dihoskan Hamdan Ahmir, malam tadi.
Beliau menjawab soalan mengenai serangan berterusan Dr Mahathir serta kenyataannya yang menyatakan menyesal kerana meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Baginya, apabila Dr Mahathir menyatakan menyesal meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, ianya hanya dianggap sebagai berseloroh atau gurauan.
“Kalau ketika itu Datuk Seri Najib dengan hubungan bersama saya, hubungannya dengan Tengku Razaleigh, Tengku mungkin, dia jadi PM, dan kalau Tengku jadi PM, Musa Hitam jadi Timbalannya, Tun Abdullah Ahmad Badawi jadi Timbalannya lepas itu, tentunya Datuk Seri Najib kemudiannya jadi Perdana Menteri juga, kerana itu susur galurnya dalam UMNO,” jelas Shahrir.
Ia bermakna akhirnya, di dalam apa juga pertandingan jika sayangkan parti, penyatuan itu kembali seperti biasa selepas pemilihan berakhir.
Roh dan semangat sayangkan parti itu dizahirkan Shahrir sendiri semasa menjadi Pengarah Pilihan Raya Kecil Tanjung Puteri pada 1988.
Waktu itu, PRK Tanjung Puteri adalah PRK yang pertama selepas UMNO Baru ditubuhkan, walaupun beliau daripada Team B dan Ketua Bahagian serta tidak dibenarkan masuk UMNO Baru, namun tidak terlintas untuk membuat sabotaj semasa pilihan raya kecil itu.
“Kerana pada saya apa juga pertelingkahan dalam parti akhirnya wadah dan perjuangan parti itu, saya tidak dendam dengan Team A sebaliknya walaupun ada bisikan dan permintaan daripada pihak Tengku Razaleigh meminta saya tidak terlibat, namun bagi saya apa pun yang penting adalah parti,”.
“Saya tidak tergamak, walaupun yang bertanding Team A. Saya tidak tergamak untuk buat calon itu kalah dan memalukan Team A,” katanya.
Menurut Shahrir, dalam per balahan jangan sampai merosakkan parti.
“Kalau kita sayangkan parti, kita tidak akan buat apa yang Tun Dr Mahathir buat. Saya dahulupun tidak tergamak nak sabotaj UMNO Baru,’ ujarnya.
Shahrir selepas program itu apabila mengapa beliau letak jawatan ahli parlimen dan bertanding sebagai calon Bebas melawan calon UMNO Baru, beliau berkata: “Sudah dibantu, menang PRK Tg Puteri untuk UMNO Baru, bukan sahaja tak ada penghargaan tetapi mahu dinafikan terus hak ahli UMNO Johor Bharu,”.
“Kenalah saya tunjuk perasaan hati orang Johor Bharu sebenarnya!, Maknanya pemimpin atas kena sentiasa bersyukur bahawa yangg di bawah inilah membawa kepada kedudukan mereka itu.”