PAC Akan Siasat CEO dan Bekas CEO 1MDB - pakdin.my

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia akan memulakan prosiding siasatan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 19 Mei ini.

Prosiding ini akan turut memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF) Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah, kata pengerusinya Datuk Nur Jazlan menerusi satu kenyataan di sini.

Pada minggu berikutnya, 26 Mei 2015 pula, PAC akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, serta bekas CEO pertama 1MDB, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi, yang berkhidmat sejak Mac 2009 hingga Mac 2013.

Nur Jazlan Mohamed, berkata jawatankuasa berkenaan telah sebulat suara bersetuju untuk memulakan prosiding siasatan terhadap 1MDB pada satu perbincangan khas pada 30 April lepas.

“Dalam perbincangan ini, semua ahli PAC, yang terdiri daripada lapan Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) serta lima daripada pembangkang, sebulat suara bersetuju memanggil semua pihak terbabit dalam pengurusan kawalan tadbir urus 1MDB sejak ia mula ditubuhkan pada 2009 selepas bertukar fungsi daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA),” katanya.

“PAC akan memulakan prosiding dengan memanggil Pegawai Pengawal syarikat 1MDB iaitu Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah EPU yang pernah hadir memberikan keterangan kepada jawatankuasa ini pada 2012, katanya.

Nur Jazlan berkata surat panggilan terhadap Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) sudah dihantar pada 6 Mei lepas, dan mengikut peraturan dan kuasa yang diberikan kepada PAC oleh Parlimen Malaysia, semua pihak berkaitan perlu hadir di hadapan jawatankuasa ini.

Katanya EPU telah menghantar surat balas kepada PAC pada Jumaat lalu selepas menerima surat panggilan yang dikeluarkan pada 6 Mei, untuk memaklumkan unit berkenaan tidak bertanggungjawab terhadap tadbir urus 1MDB.

Bagaimanapun Nur Jazlan berkata PAC tetap mahukan EPU hadir memberikan keterangan di hadapan jawatankuasa berkenaan kerana mereka pernah hadir sebanyak dua kali bagi menjelaskan mengenai pelaburan syarikat terbabit selain turut bertanggungjawab terhadap pembangunan tanah Tun Razak Exchange (TRX) serta Bandar Malaysia, Sungai Besi.

“Kita sudah menghantar semula surat panggilan terhadap EPU pada hari ini, bagi memastikan mereka hadir pada 19 Mei ini, bersama-sama MoF bagi memulakan prosiding.

“PAC berpendapat jawatankuasa ini tidak boleh menunggu laporan Ketua Audit Negara, yang turut mengaudit syarikat ini atas arahan Kabinet, kerana terlalu banyak persepsi serta spekulasi dalam kalangan rakyat yang semakin bimbang ke atas status operasi serta kewangan dana pelaburan kerajaan ini.

“Pada masa yang sama, perlu diingatkan bahawa PAC yang dianggotai Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, turut diwakili pegawai dari kementerian serta jabatan termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Akauntan Negara dan EPU, katanya.

Nur Jazlan berkata PAC merupakan jawatankuasa paling bebas dan adil, yang boleh memanggil serta menyiasat 1MDB memandangkan ia bukan berada di bawah cabang eksekutif iaitu Kabinet, sebaliknya sebuah jawatankuasa di bawah cabang legislatif iaitu Parlimen sebagai penggubal undang-undang dan dasar tertinggi negara.

Selain itu, katanya PAC tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk menamatkan prosiding ke atas 1MDB, sebaliknya akan menyiasat keseluruhan isu yang dibangkitkan mengenai tadbir urus serta pelaburan syarikat berkenaan.

Oleh itu, Nur Jazlan berkata PAC berharap semua pihak memberikan kerjasama terhadap prosiding 1MDB bagi memastikan sebarang persepsi negatif mengenai dana pelaburan berkenaan dapat dipulihkan, sekali gus memberikan gambaran terbaik terhadap usaha kerajaan menubuhkan syarikat berkenaan pada 2009.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia

Yang Berhormat Datuk Nur Jazlan bin Mohamed (Pengerusi) – Ahli Parlimen Pulai
Yang Berhormat Dr. Tan Seng Giaw (Naib Pengerusi) – Ahli Parlimen Kepong
Yang Berhormat Dato‘ Seri Reezal Merican bin Naina Merican – Ahli Parlimen Kepala Batas
Yang Berhormat Dato‘ Abd Aziz bin Sheikh Fadzir – Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru
Yang Berhormat Datuk Mas Ermieyati binti Samsudin – Ahli Parlimen Masjid Tanah
Yang Berhormat Datuk Liang Teck Meng – Ahli Parlimen Simpang Renggam
Yang Berhormat Datuk Madius Tangau – Ahli Parlimen Tuaran
Yang Berhormat Tuan Haji Hasbi bin Habibollah – Ahli Parlimen Limbang
Yang Berhormat Datuk Wee Jeck Seng – Ahli Parlimen Tanjung Piai
Yang Berhormat Dato‘ Kamarul Baharin bin Abbas – Ahli Parlimen Telok Kemang
Yang Berhormat Tuan William Leong Jee Ken – Ahli Parlimen Selayang
Yang Berhormat Dato‘ Haji Kamarudin bin Jaffar – Ahli Parlimen Tumpat
Yang Berhormat Tuan Tony Pua Kiam Wee – Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara

UTAMAEDITORIAL1MDBPAC Akan Siasat CEO dan Bekas CEO 1MDB

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium