SINGAPURA: Penumpang pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan menuju ke Shanghai pada Sabtu gempar seketika apabila kedua-dua enjin pesawat tidak berfungsi buat sementara waktu ketika cuaca buruk.
Kejadian berlaku pada ketinggian 39,000 kaki, kira-kira tiga jam setengah selepas penerbangan SQ836, yang dikendalikan oleh Airbus A330-300, meninggalkan Lapangan Terbang Changi.
“Kedua-dua enjin mengalami masalah kuasa untuk sementara waktu dan juruterbang telah mengikuti prosedur operasi standard untuk memulihkan kembali operasi enjin seperti biasa,” kata jurucakap syarikat penerbangan itu.
Penerbangan dengan 182 penumpang dan 12 anak kapal diteruskan ke Shanghai dan mendarat dengan selamat pada pukul 10.56 malam waktu tempatan, katanya.
Enjin pesawat telah diperiksa dengan teliti dan diuji apabila tiba di Shanghai tanpa sebarang anomali dikesan.
SIA sedang mengkaji kejadian itu dengan pembuat enjin, Rolls-Royce dan Airbus.