Dalam kejadian pa­da pukul 5.45 pagi itu, mangsa, P. Loganeswaran, 25, maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di beberapa bahagian badan termasuk di kepala, tangan dan muka.

Mangsa yang bekerja sebagai budak pejabat dikatakan telah di­serang oleh tiga lelaki menggunakan parang ketika dia terjatuh apabila motosikal terbabas melanggar tiang lampu.

Abang mangsa yang dikenali sebagai Ganesan, 27, memberitahu, sebelum kejadian adiknya itu mahu bertemu dengan rakan-rakannya di kawasan Little India.

“Saya dimaklumkan dia diserang ketika dalam perjalanan ke situ oleh beberapa orang lelaki yang menaiki dua buah motosikal.

“Mereka melarikan diri selepas adik terjatuh dan cedera parah. Suspek-suspek itu dikenali oleh adik,” dakwanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, terdapat saksi yang melihat mangsa terbabas ketika membawa motosikal dan mereka cuba membantu pemuda terbabit.

Bagaimanapun, katanya, sekumpulan tiga lelaki yang menaiki motosikal tiba di situ dan mengarahkan saksi beredar dari lokasi kejadian.

“Ketika itulah mangsa telah diserang oleh suspek dan dia meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di seluruh badan.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mati akibat tetakan berkali-kali di kiri kepala, hidung, pipi kiri, tangan kanan dan tangan serta jari kiri,” jelasnya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.