1MDB: CEO CIMB Islamic letak jawatan berkaitan kenyataan kod SWIFT palsu WSJ - pakdin.my

kod-swift-fargo

Ahli Lembaga pengarah CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB) mengumumkan pe­letakan jawatan Badlisyah Abdul Ghani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Islamic Bank berkuat kuasa 15 Ogos depan, seminggu selepas beliau mengeluarkan kenyataan mengenai dokumen transaksi perbankan yang dikeluarkan oleh Wall Street Journal (WSJ).

Dalam makluman ke Bursa Malaysia hari ini, Ahli Lembaga Pengarah CIMB Islamic Bank te­lah melantik Mohd. Shafri Shahul Hamid sebagai Individu Bertanggungjawab untuk mentadbir bank Islam tersebut, sementara akan memulakan proses mencari CEO baharu.

Pengerusi Lembaga Pengarah CIMB Islamic Bank, Datuk Dr. Syed Muhammad Syed A. Kadir berkata, pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh Badlisyah untuk meletakkan jawatannya sejak dilantik menjadi CEO pada 2006.

“Badlisyah memainkan pe­ranan penting untuk mengukuhkan francais perbankan Islam kami di peringkat global. Malah, bank ini sudah mempunyai kedudukan yang baik di arena antarabangsa untuk mengambil kesempatan terhadap peluang yang ada serta menghadapi cabaran mendatang.

“Saya bersama ahli-ahli lembaga pengarah yang lain mengucapkan terima kasih terhadap ke­pimpinannya, integriti beliau serta sumbangannya terhadap kumpulan perbankan ini. Kami berharap beliau mempunyai masa depan yang baik di dalam kariernya selepas ini,” jelas Syed Muhammad di dalam makluman itu.

Pada 8 Julai lalu, Badlisyah menerusi laman Facebook mendakwa dokumen bank yang disiarkan WSJ kononnya milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai palsu dan telah diubah suai berikutan kod SWIFT dalam dokumen itu tidak berpadanan dengan Bank Well Fargo di New York.

Beliau bagaimanapun menarik balik kenyataan itu daripada laman Facebook miliknya dan menjelaskan beliau telah melakukan kesilapan dalam analisis mengenai kod SWIFT dan pandangannya adalah berbentuk peribadi.

Tindakan itu mengundang rasa kurang senang Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak yang mewakili Kumpulan CIMB memohon maaf atas kenyataan yang tidak sepatutnya dibuat oleh Badlisyah.

Jelas Nazir, pihaknya akan melakukan siasatan dalaman terhadap Badlisyah berikutan kenya­taan yang dibuat menerusi laman sosial tersebut.

“Kenyataan (Badlisyah) telah pun dipadamkan (daripada Facebook) kerana merupakan perkara teknikal yang beliau tidak sepatutnya mengulas. Kami memohon maaf dan akan melakukan siasatan dalaman,” kata Nazir dalam kenyataan di laman Instagram miliknya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam keterangan gambar Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi CIMB Bank Islamic Bank, Datuk Dr. Syed Muhamad Syed Abdul Kadir sedang menunjukkan komen Facebook Badlisyah kepada bekas Pengerusi CIMB Tan Sri Md. Nor Yusof yang ‘terkejut’ dengan ke­nyataan itu.

UTAMAEDITORIAL1MDB1MDB: CEO CIMB Islamic letak jawatan berkaitan kenyataan kod SWIFT palsu WSJ

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium