PBB dapat tambahan lima kerusi – UMNO tak masuk Sarawak - pakdin.my

najib-adenan-satem-sarawak

Seperti yang dijangka Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan parti terbesar di dalam BN selepas UMNO, akan mendapat lima daripada 11 kerusi baharu negeri bagi pilihan raya negeri akan datang.

Presiden PBB yang juga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata beliau yakin parti itu mampu memenangi semua kerusi tersebut.

“Kami sekarang mempunyai 35 kerusi yang kami tidak pernah gagal menyumbang kepada Barisan Nasional (BN). Saya pasti akan meneruskan tradisi ini,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Aidilfitri anjuran PBB zon Kuching Isnin malam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor adalah antara tetamu yang hadir pada majlis itu.

Adenan, yang juga presiden PBB, berkata BN Negeri itu sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri yang boleh dipanggil pada bila-bila masa dalam tempoh 10 bulan dari sekarang,.

“Untuk sekarang, marilah kita memberikan tentangan sengit kepada pembangkang dan melemahkan mereka. Kemudian, barulah kita memanggil pilihan raya,” katanya sambil berjenaka.

Untuk rekod, Sarawak sekarang mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Mahkamah Rayuan baru-baru mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung dengan persempadanan kawasan pilihan raya negeri dan memutuskan bahawa 11 kerusi baharu yang dicadangkan boleh diguna pada pilihan raya negeri akan datang.

Menurut Adenan, PBB akan menambah kerusinya daripada 35 sekarang kepada 40 kerusi daripada 82 kerusi (71 + 11).

Mandat penuh DUN Sarawak akan berakhir pada Jun 2016.

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Najib atas kepercayaannya melantik lapan orang wakil dari Sarawak menjadi menteri penuh dalam Kabinet beliau.

“Ini belum pernah berlaku dalam sejarah negara dan satu penghormatan kepada negeri ini.

“Saya dengan ini menyeru kepada rakyat Sarawak supaya menolak calon pembangkang pada pilihan raya negeri akan datang untuk membolehkan kita mengambil bahagian dan mengukuhkan pentadbiran negara,” kata Adenan.

Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan UMNO tidak akan sesekali melebarkan sayapnya ke Sarawak kerana parti komponen sedia ada di negeri ini sudah cukup kuat untuk memimpin.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata tiada perlu parti itu menubuhkan cawangannya di negeri ini, lebih-lebih dengan kekuatan PBB untuk terus mengekalkan penguasaan BN di Sarawak.

“Di Sarawak kita sudah memiliki sebuah parti yang selayaknya memimpin, selain berupaya menyatukan semua kaum dan etnik di negeri ini.

“PBB sebagai parti tulang belakang BN Sarawak adalah sebuah parti yang cukup berpengaruh di negeri ini. Dalam apa juga keadaan, PBB boleh menyumbang kerusi yang agak besar dalam BN,” katanya.

Najib berkata, sebagai Pengerusi BN, beliau cukup mengagumi pencapaian PBB, malah akan terus memastikan parti itu menjadi tonggak BN Sarawak dan jentera pentadbiran kerajaan negeri.

Malah, katanya, disebabkan keyakinan tinggi terhadap PBB, beliau tidak ragu-ragu melantik lapan Menteri Kabinet dari Sarawak.

“Pelantikan lapan menteri ini adalah pengiktirafan Persekutuan untuk Sarawak dan ia kita lakukan untuk mengukuhkan intergrasi nasional antara wilayah.

“Selain itu, pelantikan Menteri dari Sarawak dalam jumlah yang ramai ini akan menjamin pembangunan yang lebih mantap di Sarawak pada masa depan,” katanya.

Rakyat Sarawak juga, katanya, harus merealisasikan hasrat Adenan untuk berkhidmat lima tahun lagi sebagai Ketua Menteri dengan memberi sokongan padu pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11).

Pada majlis yang sama, Najib turut dikejutkan dengan sambutan hari lahir ke-62 beliau melalui acara memotong pulut kuning. Sementara itu, Adenan memberi bayangan PRN-11 semakin hampir, malah turut mensasarkan PBB akan bertanding di 40 daripada 82 kerusi dipertandingkan.

“Dalam pilihan raya negeri lalu, kita (PBB) bertanding di 35 daripada 71 kerusi. Alhamdulillah…kita menang bersih semuanya.

“Besarlah harapan saya agar kecemerlangan ini diteruskan dan bersatu menyelamatkan Sarawak dan Malaysia. Dalam 11 kerusi baru yang diwujudkan, PBB akan bertanding sekurang-kurangnya lima atau enam kerusi,” katanya.

UTAMABERITAPBB dapat tambahan lima kerusi - UMNO tak masuk Sarawak

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium