Chong Wei Jumpa Chen Long Tentukan Gelaran Juara Dunia - pakdin.my

lee-chong-wei-jakarta-final

JAKARTA  — Final perseorangan lelaki Kejohanan Dunia mengulangi skrip tahun lalu apabila menemukan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan juara bertahan, Chen Long dari China, di Istora Senayan, di sini Sabtu.

Chong Wei memastikan dirinya mara ke final keempatnya di kejohanan ini selepas menundukkan pilihan kedua, Jan O Jorgensen 21-7, 21-19 di separuh akhir hari ini, bagi mendapatkan semula peluang menentang Chen Long yang lebih awal mengesahkan tempatnya dengan menjinakkan Kento Momota dari Jepun 21-9, 21-15.

Dalam pertarungan 42 minit itu, Chong Wei menggunakan kelebihan smashnya untuk mudah memenangi set pertama ke atas lawannya dari Denmark itu.

Bagaimanapun, seperti tiga perlawanan terakhir sebelum ini, Chong Wei terpaksa bertungkus lumus di set kedua apabila Jorgensen mula menunjukkan semangat melawan sehingga mengikat kedudukan 15-15, sebelum Chong Wei bangkit memperbaiki permainannya.

Ini adalah kemenangan ke-13 Chong Wei ke atas Jorgensen daripada 14 pertemuannya sejak November 2009.

“Saya bersedia untuk bertemu lagi dengan Cheng Long dan harap impian saya menjadi kenyataan.

“Saya mahu menjadi juara dalam Kejohanan Dunia yang mungkin terakhir bagi saya,” kata pemain berusia 33 tahun itu yang muncul naib juara bagi edisi 2011, 2013 dan 2014.

Bagaimanapun, keputusan 2014 itu ditarik balik selepas Chong Wei gagal dalam ujian doping yang mengakibatkannya digantung lapan bulan sebelum bebas pada Mei lepas.

Chong Wei berkata, dia tidak mahu memikirkan kekuatan dan kelemahan Chen Long, sebaliknya fokus kepada kemampuan diri sendiri.

Untuk rekod, Chong Wei dan Chen Long sudah bertemu sebanyak 20 kali dengan pemain China berusia 26 tahun itu menang 11 kali termasuk dalam pertemuan terakhir mereka di final Terbuka Taiwan, bulan lepas.

Begitupun, Istora Senayan setidak-tidaknya adalah gelanggang keramat buat Chong Wei yang pernah menjulang gelaran Terbuka Indonesia sebanyak lima kali iaitu 2007, 2009-2011 dan 2013 manakala Chen Long seperti rakan senegaranya, Lin Dan, tidak pernah menang sebarang gelaran individu di Jakarta.

UTAMAChong Wei Jumpa Chen Long Tentukan Gelaran Juara Dunia

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium