Kakitangan tidak terjejas selepas penstrukturan semula – SYABAS - pakdin.my

syabas-staff

Lebih 3,300 kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) tidak akan terjejas selepas pelaksanaan penstrukturan semula air di negeri itu, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan.

Sebaliknya, katanya, nasib mereka akan lebih baik kerana perjanjian yang dimeterai Puncak Niaga Holdings Sdn Bhd (PNHB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memastikan kepentingan kakitangan syarikat itu.

“Tidak wajar jika menukar atau mengubah terma serta syarat perjanjian kakitangan seperti yang dipersetujui. Dengan keadaan kewangan yang lebih baik di bawah pengurusan baharu, saya yakin kebajikan mereka akan lebih terjamin,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Kebangsaan 2015 peringkat SYABAS, di sini, hari ini.

Mengenai kedudukan pengurusan tertinggi SYABAS, Ruslan berkata ia bergantung kepada pengurusan baharu tetapi berpendapat syarikat itu kini memiliki pasukan terbaik.

“Mereka berhak untuk menukar pengurusan tetapi pasukan hari ini adalah terbaik kerana tetap kerja kuat walaupun berdepan banyak cabaran,” katanya.

Berhubung perkembangan penstrukturan semula air, Ruslan berkata perbincangan antara Kerajaan Pusat dan Selangor sehingga kini berjalan lancar dan perjanjian jual beli dijadual dimuktamadkan pada 13 September ini.

“Saya optimistik kerana semua perbincangan sangat positif. Contohnya, mereka bersetuju apabila empangan Sungai Langat mencecah tahap kritikal, air dari Pahang akan disalurkan ke empangan itu bagi memastikan bekalan air terjamin,” katanya.

Mengenai kedudukan rizab air terawat yang semakin berkurangan berikutan kelewatan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2), Ruslan berkata kerajaan Selangor melaksanakan program mitigasi untuk mengurangkan impak kekurangan bekalan air.

Selangor bersetuju memuktamadkan urusan penstrukturan semula industri air negeri itu dalam tempoh 60 hari berdasarkan Perjanjian Utama Penstrukturan Air Selangor yang dimeterai dengan Kerajaan Persekutuan pada awal bulan lalu.

Mengikut perjanjian itu, Kerajaan Pusat akan menyediakan peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk membolehkan Selangor mengambil alih ekuiti syarikat konsesi air terbabit selain liabiliti berjumlah RM7.694 bilion melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Sebagai balasan, kerajaan Selangor perlu menyerahkan aset air kepada PAAB yang kemudiannya akan dipajak semula kepada Air Selangor selama 40 tahun seperti dijalankan dalam penstrukturan industri bekalan air di negeri lain.

UTAMAPOLITIKKakitangan tidak terjejas selepas penstrukturan semula - SYABAS

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium