Kanak-kanak perempuan maut, tinggal dalam kereta lebih dua jam - pakdin.my

LAHAD DATU, 14 Jun ― Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas lebih dua jam ditinggalkan kepanasan di dalam kereta oleh ibunya di tepi jalan rumahnya di Taman Aman 1 di sini, Rabu lepas.

Anak bongsu daripada empat beradik itu dijumpai ibunya yang berusia 31 tahun dalam keadaan terbaring di tempat duduk belakang kereta, selain mulut berbuih dan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata mangsa yang kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu disahkan meninggal dunia pada 4.39 petang.

“Terdapat kesan melecur di bahagian kiri muka serta lengan mangsa.

“Punca kematian disebabkan ‘heat related death’,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya ibu mangsa yang juga seorang suri rumah ditahan polis bagi membantu siasatan.

Nasri berkata suspek membawa mangsa untuk mengambil dua anaknya berusia sembilan dan 10 tahun yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Lahad Datu 2 pada 1 tengah hari dan selepas itu kembali ke rumah.

Namun, ketika sampai di rumah, suspek meletakkan keretanya jenis Proton Bezza di tepi jalan rumah dan memesan anak sulungnya agar membawa keluar mangsa dari kereta dan masuk ke rumah.

“Ketika itu suspek mahu menunaikan solat di tingkat dua rumahnya dan selepas itu tertidur.

“Bagaimanapun pada 3.45 petang ketika suspek dan suaminya mahu makan, memanggil mangsa untuk makan bersama tetapi tiada jawapan, dan kehilangan mangsa itu dicari sehingga ke rumah jiran tetapi tidak berjaya,” katanya.

Nasri berkata suspek kemudian mencari mangsa di keretanya dan menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Susulan tangkapan suspek itu, katanya polis turut merampas kereta jenis Proton Bezza berwarna biru dan kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan. ― Bernama

UTAMABERITAKanak-kanak perempuan maut, tinggal dalam kereta lebih dua jam

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium