Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa gagal menjalankan tanggungjawab dalam membantu menjernihkan keadaan berhubung beberapa isu sensitif yang melanda negara.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Mohd Nor Hamzah mempertikaikan tindakan Mujahid yang mengunci mulut meskipun pelbagai pihak cuba memperlekehkan Islam berhubung isu pelaksanaan tulisan Jawi dan pendakwah Dr Zakir Naik baru-baru ini.
“DUPP (Dewan Ulamak Pas Pusat) juga kesal dengan sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) yang gagal memberikan kefahaman kepada sikap melampau segelintir menteri ini termasuk dalam isu tulisan jawi baru-baru ini.
“YB Menteri Agama tidak memainkan peranan yang efektif, sebaliknya menikus mendiamkan diri di saat Islam diperlecehkan oleh orang lain,” dakwanya menerusi kenyataan.
DUPP juga katanya lagi, mengecam tindakan beberapa menteri Kabinet yang bertindak menghalau Zakir Naik dan perkara ini disifatkan Mohd Nor sebagai rasis.
“Sikap ‘double standard’ segelintir menteri hanya kerana didorong oleh sikap rasisme dan kebencian terhadap personaliti Dr Zakir Naik.
Beliau berhujah dengan ilmu di pentas terbuka mengenai perbandingan agama. Beliau tidak memaksa masyarakat bukan Islam untuk memeluk Islam termasuk menghina anutan mereka,” katanya lagi.
Selepas Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyuarakan pendirian bahawa Zakir tidak patut dikekalkan di negara ini, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga menyuarakan pendirian serupa.
Zakir dalam satu ceramahnya baru-baru ini didakwa berkata, adalah malang kerana masyarakat India di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri, Narendra Modi berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad.
Zakir juga didakwa membandingkan nasib masyarakat beragama Hindu di Malaysia yang menikmati hak sepenuhnya berbanding orang Islam di India.