Najib sebak kenang dasar pendidikan tahfiz negara tak dapat dilaksana - pakdin.my

PASIR SALAK – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat terkilan kerana Dasar Pendidikan Tahfiz Negara tidak dapat dilaksanakan setelah Barisan Nasional (BN) tidak lagi menjadi kerajaan.

Menurut Najib, beliau rasa seperti mahu menangis apabila dimaklumkan pusat tahfiz mungkin akan ditutup kerana tidak lagi berkemampuan.

Beliau berkata, hari ini ramai anak-anak tahfiz yang mengemis dan mereka terpaksa berhenti belajar.

“Saya menggambarkan kita mahu lahirkan 125 hufaz profesional satu hari nanti sebab mereka ada kebolehan yang luar biasa.

“Tetapi itu tak kesampaian. Saya terkedu rasanya, macam nak menangis apabila ibu bapa atau mudir-mudir pusat tahfiz memberitahu mungkin terpaksa tutup tahfiz ini sebab tak ada kemampuan lagi.

“Inilah angkara apabila kita hilang kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0 di Dataran Dewan Besar Pekan Rabu, Sungai Manik di sini semalam.

Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN berkata, sebab itu pada Perhimpunan Agung UMNO lima tahun lalu, beliau pernah berkata ‘kalau UMNO hilang kuasa, orang Melayu akan terbangsat di bumi sendiri’.

Menurutnya, perkara itu kini menjadi kenyataan apabila kerajaan tidak meneruskan agenda Melayu, Islam tertekan dan satu demi satu institusi orang Melayu lumpuh.

“Kita mengalami satu keadaan yang amat kritikal inilah sebabnya penyatuan ummah ini jalan keluar untuk kita menyelamatkan umat Islam dan Melayu.

“Kita wajib menentang kerajaan yang menzalimi Islam dan orang Melayu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

UTAMANAJIB RAZAKNajib sebak kenang dasar pendidikan tahfiz negara tak dapat dilaksana

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium