Umat Islam haram terlibat dalam undian menukar agama yang dibuat di media sosial, kata Mufti Wilayah Persekutuan.
Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata umat Islam tidak harus memandang ringan undian tersebut yang jelas mampu memesongkan akidah.
“Kami menyatakan dengan tegas bahawa perbuatan tersebut adalah haram sama sekali dari sudut syarak.
“Hal ini kerana ia seolah-olah menunjukkan keinginan seseorang itu untuk memeluk agama selain daripada agama Islam dan mempunyai keazaman untuk menjadi kufur.
“Ulama menyebutkan sesiapa yang berazam untuk menjadi kufur di masa yang akan datang, maka dia sudah pun menjadi kufur pada ketika dia berazam tersebut.
“Justeru, kami menasihati seluruh umat Islam supaya perkara ini janganlah diambil ringan dan dibuat main-main kerana ia melibatkan akidah,” coretnya di Facebook.
Zulkifli menjawab soalan yang bertanyakan hukum orang Islam terlibat dalam undian di Facebook mengenai pilihan untuk bertukar agama.
Katanya, umat Islam mempunyai keimanan bahawa hanya agama Islam merupakan agama yang benar dan diredai di sisi Allah.
“Orang Islam yang terlibat di dalam undian tersebut seolah-olah menunjukkan keazaman untuk menukar agama kepada agama yang dipilih dalam undian walaupun sekadar bermain-main.
“Hal ini boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kufur seperti mana yang sudah disebutkan di atas.
“Oleh itu, hendaklah dia bertaubat, mengucap dua kalimah syahadah serta tidak mengulangi perbuatannya tersebut,” katanya.