Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan beliau tidak pernah menamakan dirinya sendiri sebagai calon Perdana Menteri selepas jawatan nombor satu negara itu dilepaskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Jelas Zahid, beliau sebagai manusia biasa, pastinya tidak dapat menyembunyikan perasaan terhiris apabila pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan ke atas dirinya sepanjang kemelut politik yang berlaku ini.
“Demi kepentingan rakyat dan negara ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar.
“Justeru, UMNO sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara, akan mempertimbangkan beberapa calon. Sehubungan itu, saya mengharapkan kerjasama serta sokongan semua Ahli-Ahli Parlimen,” jelasnya melalui satu kenyataan sebentar tadi.
Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, beliau ingin menyeru kepada seluruh ahli dan kepimpinan UMNO di semua peringkat untuk mengenepikan segala perbezaan dan kembali bertaut demi menjayakan agenda rakyat dan negara ini.- K! ONLINE