Keputusan PAS untuk bertanding bawah lambang Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, membuka jalan kepada Barisan Nasional (BN) kembali ke laluan “sederhana, pelbagai budaya dan progresif”, kata seorang pemimpin Umno.
Khaled Nordin berkata, BN tidak lagi dibelenggu oleh sesiapa dan bebas untuk mencorakkan jalan ke hadapan.
“Umno sedar bahawa laluan kemenangan memerlukan sokongan semua kaum dan bukan hanya orang Melayu.
“Bergabung tenaga dengan parti Melayu bukan satu-satunya cara untuk menguasai kerajaan,” katanya di Facebook.
Naib Presiden Umno itu berkata, dalam suasana politik yang “mengganggu”, kemenangan bergantung kepada dasar yang baik, kepimpinan dinamik dan dasar ekonomi yang mampan.
Jumlah undi yang diperoleh Umno, PAS dan Bersatu tidak seharusnya dijadikan petunjuk siapa yang menang dalam pilihan raya, katanya.
“Politik Malaysia tidak semudah itu. Ianya rumit. BN adalah taruhan terbaik Umno untuk Malaysia.”
Minggu lalu, PAS berkata ia akan bertanding bawah logo PN pada pilihan raya 20 Nov ini dengan alasan ia adalah strategi paling berkesan untuk memenangi pilihan raya.
Parti Islam itu bagaimanapun berkata, keputusan mereka untuk kekal bersama PN bagi Melaka tidak bermakna ia akan melakukan perkara yang sama pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Khaled juga berkata, Muafakat Nasional, pakatan politik yang ditubuhkan pada 2019 antara Umno dan PAS, kini hanya wujud “atas nama” dengan PAS lebih suka merangka hala tujunya sendiri bawah gabungan PN dengan kerjasama Bersatu.
“Semua kabur tentang perpaduan Islam dan hanyalah cakap-cakap manis. Hakikatnya, dalam politik, pelbagai kepentingan adalah keutamaan.” katanya.