Perhimpunan Agung Umno 2014 akan berlangsung dari 25 hingga 29 November di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Amanat Presiden parti akan disampaikan pada petang 25 November.
Persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pula akan dirasmikan Timbalan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam 25 November, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato’ Onn di sini, Selasa.
Persidangan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri berlangsung pada 26 November diikuti mesyuarat khas Majlis Tertinggi pada malam hari itu.
“Perhimpunan Agung akan bermula pada 27 hingga 29 November manakala jamuan makan malam presiden diadakan pada 27 November,” kata Najib yang juga Presiden Umno.
Najib berkata sempena perhimpunan agung Umno, Forum Antarabangsa 2014 bertema “Hyper Connected World Challenges in Nation Building” bakal diadakan pada 24 dan 25 November.
Menurutnya sehingga kini, semua bahagian telah mengadakan mesyuarat masing-masing, kecuali satu bahagian yang memohon penangguhan ke 19 Oktober ini.