Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) memaklumkan bahawa polis sedang menjalankan siasatan untuk mengesan pihak yang memulakan dan menyebarkan dakwaan kehadiran buaya sepanjang hampir tiga meter di kawasan pantai di Batu 5, Port Dickson yang menjadi viral di laman sosial, sejak semalam.
Kenyataan MPPD menyebut maklumat serta gambar yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab itu adalah palsu dan boleh menyebabkan panik dalam kalangan masyarakat setempat dan pengunjung.
“Kita dapati gambar yang disebarkan itu adalah kejadian di luar negara. Siasatan kita dapati tiada mana-mana pihak dapat mengesahkan kehadiran buaya di pantai Port Dickson,” kata Yang Dipertuanya, Datuk Ab Khalid Mat, Ahad.
Siasatan mendapati gambar yang tersebar itu diambil di pusat pelancongan di Cable Beach, Broome, Australia Barat.
Beliau sehubungan itu menyeru pengunjung agar terus mengunjungi dan beriadah di pantai seperti biasa tanpa perlu risau.