“Dok seke (tak sangka) hari ni PM (perdana menteri) belanja saya!”
Itu reaksi seorang pembeli yang terkejut apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghulurkan seekor ayam kepadanya ketika membeli di tapak Jualan Sentuhan Rakyat sempena Ekspo Negaraku 2018 di Kuala Nerus.
Mohd Yasin Abdullah, 57 dari Jabi, Besut bersama isteri dan dua anaknya berkata beliau yang mengunjungi ekspo itu untuk kali kedua mengambil kesempatan membeli barang basah yang ditawarkan dengan harga lebih murah.
“Saya tengok ada jualan rakyat, saya mari la nak beli sayur dan ikan, bila lalu tempat orang jual ayam, PM panggil dan hulur saya ayam.
“Saya sangat teruja dan gembira sebab sebelum ni saya hanya pernah tengok PM dari jauh je di program lain dan dalam televisyen. Tapi hari ni dapat jumpa dekat dan beliau siap belanja saya! Terima kasih PM, memang satu kenangan untuk saya,” katanya ketika ditemui Bernama sewaktu tinjauan pemimpin nombor satu negara ke tapak jualan tersebut.
Mohd Yasin yang juga bekas pesara kerajaan berkata kehadiran pemimpin itu menunjukkan keprihatinan beliau terhadap keperluan rakyat di akar umbi.
“Memang baguslah program macam ni dan PM pun datang tengok rakyat. Kalau boleh biarlah kerajaan buat setiap minggu program jualan rakyat macam ni… kami sebagai rakyat memang suka,” katanya.
Perdana menteri tiba yang di tapak ekspo di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak kira-kira 10.30 pagi ini diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
Beliau meluangkan masa sekitar 20 minit bersama pembeli dan turut meninjau harga barangan yang dijual.
Jualan selama dua hari bermula semalam merupakan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Sempena jualan itu, sebanyak tujuh ekor lembu disembelih dan dijual dengan harga RM25 sekilo berbanding harga pasaran biasa, RM30.
Selain daging segar, jualan yang menawarkan potongan harga bermula lima hingga 20 peratus itu turut menawarkan harga rendah bagi barangan termasuk gula, minyak masak, telur, beras, sayur, ikan dan milo.