KUALA TERENGGANU: Seorang anggota pengiring rapat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas ketika menjalani latihan jasmani Cawangan Keselamatan Istana di Bukit Maras, Kuala Nerus, pagi tadi.
Koperal Al-Azim Abd Majid, 34, disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman, berkata anggota berkenaan menjalani latihan jasmani bersama beberapa rakan setugas di bukit berkenaan, sebelum tiba-tiba sesak nafas kira-kira jam 9 pagi.
“Ketika hampir sampai di puncak bukit berkenaan, mangsa mengadu sesak nafas sebelum rebah dan tidak sedarkan diri dan rakan setugas Allahyarham turut memberikan bantuan kecemasan,” katanya.
Beliau berkata, rakan setugas mangsa kemudian menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan, sebelum Al-Azim dibawa turun dari bukit dengan bantuan anggota bomba.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke HSNZ dengan menaiki ambulans, namun disahkan meninggal dunia jam 11 pagi ketika menerima rawatan.
“Jenazah mangsa kemudian dimandi dan dikafankan di Unit Forensik HSNZ, sebelum dibawa ke Surau Perumahan Polis, Padang Hiliran di sini, untuk diberikan penghormatan terakhir dan solat jenazah.
“Jenazah kemudian dibawa pulang ke kampung halamannya di Taman Tempua Bestari, Kalumpang, Hulu Selangor, Selangor untuk dikebumikan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Ketua Polis Negeri, Datuk Aidi Ismail serta lebih 100 ketua jabatan dan rakan setugas Allahyarham.
Suffian berkata, Al-Azim meninggalkan seorang balu, Farhana Hazhwani Kamaruddin, 31, dan tiga anak berusia enam, 11 dan 12 tahun.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.