Satu pasukan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah restoran yang didakwa menyamar sebagai restoran mamak Islam yang menjual makanan halal.
Dalam satu kenyataan, KPDNHEP Selangor memaklumkan serbuan dilakukan berikutan aduan yang tular di media sosial mendakwa pekerja restoran tersebut menyiang biawak di kedai tersebut selain mengantungkan gambar ayat suci al-Quran bagi mengaburkan mata pengunjung.
Serbuan yang dilakukan bersama anggota Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini mendapati restoran yang terletak di Jalan Harmoni Indah 1 Balakong di Selangor itu tidak lagi beroperasi.
Papan tanda di hadapan restoran tersebut juga telah diturunkan selain pintu pagar hadapan dan belakang telah ditutup dan dikunci dengan mangga.
Seorang pengguna Abdul Rahim Manan dalam satu hantara di Facebook sebelum ini mendakwa restoran berkenaan menyamar sebagai kedai mamak Islam dan mengantungkan ayat-ayat al-Quran.
Beliau turut memuat naik satu rakaman video mendakwa seorang pekerja restoran itu sedang menyiang seekor biawak di restoran tersebut.-UTUSAN ONLINE