HSR: Kerajaan PH perlu tunggu tender tutup baru buat keputusan – Najib - pakdin.my

Kerajaan sewajarnya tunggu sehingga tender ditutup dan semua bidaan diterima sebelum memutuskan sama ada menunda atau membatalkan projek Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pertimbangan itu seiring dengan garis masa tender berkenaan yang mula dibuka sejak Januari lalu, selain hanya berbaki kurang empat bulan untuk sebarang proses bidaan ditutup.

Katanya, tender untuk pakej pembiayaan kewangan HSR itu kebiasaannya sangat berdaya saing, justeru tidak mustahil pembida akan memperuntukkan pakej pinjaman dengan kadar faedah sifar atau 0.1 peratus, selain tempoh moratorium daripada sebarang bayaran balik seperti projek sama di India dan Indonesia.

“Tender untuk projek HSR dilaksanakan bersama Singapura yang sepatutnya ditutup pada akhir Disember ini dibatalkan. Pembida melaburkan banyak wang dan usaha dalam mengemukakan bidaan mereka dan ia sudah hampir selesai.

“Dengan maklumat kos dan pakej pembiayaan daripada pembida, kerajaan sepatutnya boleh membuat keputusan dengan lebih wajar jika hendak batal ataupun tangguh.

“Bagi saya kos untuk menangguhkan projek ini untuk dua tahun bukan RM45.1 juta saja, tetapi perlu mengambil kira kos kehilangan peluang,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook rasminya, hari ini.

Kelmarin, Malaysia dan Singapura menandatangani Surat Sampingan HSR bagi memeterai persetujuan bersama menangguhkan projek berkenaan selama dua tahun sehingga Mei 2020.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju membayar kos abortif atau kos terbantut sebanyak S$15 juta (RM45.1 juta) kepada kerajaan Singapura, susulan keputusan penangguhan terbabit.

Kos berkenaan perlu dijelaskan pada atau sebelum 31 Januari tahun hadapan.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan, dalam nada menyindir menyifatkan persoalannya sebelum ini berhubung lonjakan anggaran kos HSR daripada RM70 bilion kepada RM120 bilion seperti diutarakan kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) akhirnya terjawab.

“Rupanya, kos RM120 bilion rekaan PH ini termasuk bayaran bunga, walaupun pakej pembiayaan mungkin hanya sifar dan 0.1 peratus, selain kos penyelenggaraan serta operasi untuk 30 tahun tanpa mengira sebarang pendapatan daripada projek ini.

“Mungkin ini ialah ‘kos tersembunyi’ yang dimaksudkan dalam jawapan rasmi Datuk Seri Azmin Ali kepada saya dalam Dewan Rakyat hari itu?

“Jika sedemikian, mungkin penjual kereta di Malaysia juga patut menukar papan harga untuk kereta mereka kerana perlu menambah kos bunga daripada pinjaman dan operasi untuk 30 tahun,” katanya.

Mengulas kesan penangguhan projek berkenaan, Najib mengunjurkan ‘harga’ yang perlu dibayar susulan keputusan itu bukan RM45 juta seperti diumumkan kerajaan, sebaliknya perlu ditambah dengan kenaikan kos pembinaan RM13.2 bilion.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mendedahkan laporan kesan ekonomi HSR supaya rakyat berupaya menilai sendiri kebaikan projek berkenaan mengikut aspek pembangunan negara dan pulangan pelaburan.

“Saya cuba membaca kenyataan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan yang mengatakan ramai di Singapura tidak sabar untuk HSR dibina kerana destinasi Kuala Lumpur sangat dinantikan.

“Banyak peluang untuk merancakkan industri pelancongan dan pelaburan serta berpuluh ribu peluang pekerjaan akan hilang dalam tempoh penangguhan dua tahun ini.

“Dua bulan lalu, pusat penyelidik dari Institut Pembangunan Ekonomi di Jepun dengan kerjasama Institut Yusof Ishak di Singapura mengeluarkan hasil selidik mereka bahawa Malaysia akan memperoleh keuntungan AS$1.589bil (RM6.6 bilion) setiap tahun menerusi projek HSR,” katanya.

………….
https://pakdin.my/tag/hsr

UTAMAEKONOMIHSR: Kerajaan PH perlu tunggu tender tutup baru buat keputusan - Najib

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium