Orang Melayu diingatkan supaya terus berhati-hati walaupun Putrajaya telah membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Peringatan itu diberikan oleh bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang turut menasihatkan bangsa Melayu agar tidak sekadar berpuas hati dengan jawapan itu.
“Kita mungkin sudah memenangi satu pertempuran, tetapi perang belum lagi tamat.
“Saya percaya kumpulan yang tidak senang adanya hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, tidak akan berdiam diri.
“Jika perdana menteri tidak bertukar pun, mungkin tekanan terhadapnya di dalam kerajaannya sendiri terlalu kuat hingga beliau terpaksa membuat U-turn.
“Sejak 9 Mei 2018, kita sudah melihat beberapa kali U-turn dibuat. Sebab itu kita perlu terus berwaspada dan bangun menentang semula, jika perlu.
“Kerajaan tidak boleh memberi jaminan konvensyen itu tidak akan diratifikasikan di masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Tolak ICERD di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Mengulas lanjut Abdul Hamid berkata, pada dasarnya beliau berpuas hati dengan pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mengiktiraf ICERD ketika ini.
Bagaimanapun katanya, persoalan mula timbul apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengadakan pertemuan dengan pengarang akhbar berbahasa Cina pada 23 November lalu berhubung isu ICERD.
“Soalan saya yang pertama, mengapa beliau hanya memanggil pengarang-pengarang akhbar Cina, jika beliau hendak membuat kenyataan akhbar. Adakah ada sesuatu yang tersembunyi yang beliau tidak mahu orang Melayu tahu?
“Mengapa selepas kenyataan itu dikeluarkan pun, orang yang menentang ICERD masih dikatakan ‘memainkan sentimen masyarakat Melayu’ dengan menggunakan isu ICERD?” soalnya.
Dalam pada itu, Abdul Hamid turut mempertikai tindakan sesetengah pihak apabila menyifatkan orang Melayu yang menentang ICERD sebagai rasis.
“Yang peliknya, orang Melayu yang mempertahankan hak mereka seperti yang dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dikatakan rasis. Tetapi, orang bukan Melayu yang hendak mengambil hak orang Melayu tidak dikata rasis.
“Saya seru semua rakyat Malaysia, termasuk Lim dan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) P Waytha Moorthy, marilah terima kenyataan kerajaan PH yang mereka sendiri menjadi anggota Kabinetnya dan jangan lagi menuduh penentang ICERD sebagai rasis dan pelampau, jika mereka mahu cuba mewujudkan perpaduan,” tambah beliau.
Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Malaysia tidak akan menandatangani ICERD, sebaliknya terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara.