Ketua Menteri Sarawak bincang ‘perkara besar’ bersama Ahli-Ahli Parlimen GPS di Kuala Lumpur

‘PERKARA besar’ dijangka dibincangkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dengan semua Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS), hari ini.

Pertemuan dengan Abang Johari yang juga Pengerusi GPS dijangka berlangsung di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur.

Seorang Ahli Parlimen GPS yang enggan didedahkan mengakui ada agenda penting yang akan dibincang, namun enggan mengulas lanjut.

“Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Dalam maksudnya tetapi mudah untuk anda fahami dan tafsir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, semua Ahli Parlimen itu turut diminta menyediakan songkok dan ‘suit’.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan Abang Johari berkata, perjumpaan itu hanyalah mesyuarat rutin menjelang persidangan Dewan Rakyat.

“Ini biasa (perjumpaan) dilakukan oleh Ketua Menteri setiap kali sebelum Ahli Parlimen GPS menghadiri persidangan,” katanya ringkas.

GPS mempunyai 19 kerusi di Dewan Rakyat dengan Ketua Whipnya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Daripada jumlah itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempunyai 13 kerusi; Parti Rakyat Sarawak (PRS) tiga kerusi; Parti Demokratik Progresif (PDP) dua kerusi dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) satu kerusi.

Rujukan:
Tun M hadir pertemuan pemimpin BERSATU