#PRNJohor tidak boleh ditangguhkan, kata PM - pakdin.my

Pilihan raya negeri (PRN) Johor tidak boleh lagi ditangguhkan kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubarkan, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, jika ditangguhkan, ia disifatkan mustahil untuk dilakukan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh penting seperti penamaan calon dan pembuangan undi untuk PRN berkenaan.

Katanya, penangguhan PRN Johor hanya boleh dilakukan sekiranya kerajaan mengumumkan darurat dan sudah tentu pihaknya tidak akan berbuat demikian.

“Ia tidak boleh (tangguh PRN Johor). Hanya ada satu cara yang boleh tangguhkan PRN iaitu dengan mengadakan darurat, itu sahaja kaedahnya.

“Apabila DUN sudah dibubarkan, butiran pilihan raya sudah diumumkan termasuk tarikh dan sebagainya, ia memang tidak boleh ditangguhkan. Kalau nak ditangguhkan hanya dengan mengumumkan darurat di seluruh Johor.

“Kalau kita buat darurat, tak akan Johor sahaja darurat, negeri lain tidak (darurat) kerana peningkatan kes berlaku seluruh negara. Saya sudah umumkan tiada lagi sekatan termasuk darurat akan dilakukan selepas ini,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang, Tangkak hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Hasni Mohammad.

Sebelum ini, media melaporkan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menangguhkan PRN Johor atau membenarkan parti yang bertanding untuk berkempen secara terbuka.

Majlis Presiden PH juga dilaporkan berkata, pihak mereka sentiasa memandang serius gelombang Covid-19 dengan varian Omicron yang sudah mencecah 17,000 kes pada Rabu.

Dalam pada itu, Ismail berkata, PRN Johor juga tidak akan ditangguhkan walaupun terdapat gesaan kerana berpandukan faktor di PRN Melaka, kes jangkitan Covid-19 masih dicatatkan tetapi berjaya dikawal.

“Tidak ada sebab kita nak isytiharkan darurat di Johor semata-mata bagi menangguhkan PRN. Saya dan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menyatakan kita terpaksa hidup dalam Covid-19 sehingga ia dianggap sebagai endemik.

“Kita perlu meneruskan hidup dalam Covid-19 namun perlu kawal dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Ahli Parlimen Bera itu turut memberi jaminan kepada rakyat untuk tidak mengadakan lagi sekatan pergerakan rentas negeri mahu pun daerah.

“Kita juga dah buka ekonomi, tidak mungkin kita akan tutup semula ekonomi apatah lagi kita tahu betapa sukar kehidupan rakyat apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kalau kita tutup semula habis ekonomi dan kehidupan rakyat. Begitu juga pergerakan rentas daerah dan negeri. Cuma sempadan negara sahaja kita belum buka. Dalam negara kita dah buka termasuk untuk nak balik kampung masa raya esok pun kita dah umum, tak akan tiba-tiba nak tutup semula dan tak benarkan,” katanya.

BACA juga:

UTAMAPILIHAN RAYA#PRNJohor tidak boleh ditangguhkan, kata PM

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium