Mansuh Akta AntiBerita Tidak Benar berita gembira bagi pengguna media sosial - pakdin.my

Rang undang-undang (RUU) untuk memansuhkan Akta AntiBerita Tidak Benar yang sudah lama ditangguhkan diluluskan Dewan Rakyat buat kali kedua pada 9 Okt, 2019.

Ini merupakan inisiatif baru oleh kerajaan untuk memansuhkan Akta Anti-berita Tidak Benar 2018 (Akta 803) yang telah pun dibentangkan di Parlimen sebelum ini.

Langkah yang diambil untuk menghapuskan akta ini kembali ke Parlimen setelah tempoh penyejukan satu tahun di bawah Artikel 68 Perlembagaan Persekutuan berakhir.

RUU ini tidak mendapat restu Dewan Negara sebelum ini dan ditolak. Namun, Dewan Negara hanya boleh menyekat sesuatu RUU yang diluluskan oleh Parlimen hanya sekali sahaja.

Pemansuhan akta ini adalah berita gembira bagi sesetengah pengguna media sosial.

Malaysia adalah antara negara pertama di dunia yang memperkenalkan undang-undang berita palsu. Tetapi undang-undang yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu dicemuh oleh pengkritik, terutama mereka yang mahu mempertahankan hak bersuara dan hak asasi rakyat dalam demokrasi.

Akta yang digubal sebelum ini dikatakan direka bentuk untuk tujuan politik, menyekat perbezaan pendapat dan lebih bertujuan untuk menindas pengkritik kerajaan.

Kumpulan hak asasi manusia mengecam akta sebelum ini sebagai menindas dan menuduh kerajaan menggunakannya untuk menutup tuduhan rasuah dan salah urus pentadbiran.

Jelas ramai juga yang diambil tindakan di bawah akta ini sebelum PRU Ke14 kerana menegur kerajaan dalam kes-kes salah urus 1MDB dan SRC, misalnya.

Dianggap akta yang digubal itu lebih bermotif politik.

RUU sekarang ini yang dibawa semula untuk diluluskan Dewan Rakyat mempunyai hasrat untuk menghapuskan akta yang diperkenalkan di bawah kerajaan sebelum ini.

Tujuan untuk menghapuskan akta ini ada rasionalnya kerana sudah pun ada peruntukan undang-undang yang mencukupi bagi mengatasi gejala kepalsuan berita menerusi media atas talian, bukan atas talian dan ucapan umum.

RUU kini bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pemansuhan Akta 803 disebabkan oleh perubahan dalam dasar kerajaan bahawa berita palsu boleh ditangani di bawah undang-undang yang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Di bawah undang-undang yang sedia ada mereka yang didapati bersalah masih boleh dihukum. Peruntukan ini cukup untuk memerangi penyebaran berita palsu dan yang sensitif dalam masyarakat.

Oleh itu, dianggap Akta 803 tidak lagi relevan.

Selama lebih setahun setengah kerajaan baru mengambil alih sudah pun ramai yang diambil tindakan di bawah undang-undang yang sedia ada ke atas kesalahan yang mereka lakukan.

Jadi dianggap tidak perlu lagi kerajaan wujudkan undang-undang khas bagi mengatasi masalah berita palsu dan sensitif.

Namun masih terdapat banyak berita palsu yang beredar melalui media sosial yang boleh mengancam keselamatan negara.

Kerajaan mempunyai anggapan bahawa dalam meminda undang-undang berita palsu yang diperkenalkan pentadbiran sebelum ini tidak akan menggugat keselamatan negara.

Pindaan ini pada tanggapan mereka, tidak akan menjejaskan hasrat kerajaan untuk memerangi gejala kepalsuan yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat di negara ini.

Undang-undang antiberita palsu yang digubal sebelum ini dikatakan semacam penjenamaan “penapisan kerajaan” dalam bentuk yang lebih menarik, yang direka untuk mengelirukan orang ramai untuk membolehkan kerajaan dan pegawai menutup kritikan yang tidak mereka sukai.

Justeru undang-undang semacam ini dianggap orang ramai sudah pun jauh menyimpang daripada amalan demokrasi.

Kepada pengkritik, hasrat kerajaan untuk memansuhkan undang-undang antiberita palsu kini adalah berita gembira. Kerajaan juga mendapat sokongan jitu daripada badan hak asasi dunia.

Menegur atau membuka salah laku kerajaan kepada umum bukan suatu kesalahan dalam demokrasi, tetapi haruslah kritikan dan teguran ini berlandaskan kebenaran, bukan direka cipta atau dengan sengaja dipalsukan untuk kepentingan politik.

Ramai yang membantah sebelum ini kerana tidak mahu akta ini disalah gunakan untuk tujuan politik dan memberi kekebalan kepada kerajaan.

Namun diharap kerajaan tidak terlalu leka untuk bertindak terhadap penyebar berita palsu yang berleluasa sekarang dalam media sosial dengan undang-undang yang sedia ada. Jika ini tidak dikawal ia boleh memudaratkan negara.

Penyebaran berita dalam talian dan bukan talian harus dipantau kandungannya supaya tidak wujud unsur palsu dan sensitif yang boleh mencetus huru-hara dalam masyarakat berbilang agama dan kaum.

Apa-apa yang termaktub dalam perlembagaan negara harus dihormati pengguna media.

Walau apa pun, kerajaan perlu mengetatkan lagi mekanisme untuk memerangi penyebaran berita palsu yang melibatkan individu dan penipuan dalam media. Ini tidak boleh diabaikan.

Kerajaan harus mempunyai kuasa untuk memerangi rangkaian sosial, enjin carian dan perkhidmatan “agregat” berita untuk membuat pembetulan atau mengeluarkan kandungan yang dianggap sensitif dan palsu.

Kerajaan juga harus memerintahkan pembekal perkhidmatan internet atau perantara untuk menyekat akses ke laman web yang sensitif dan boleh menyinggung perasaan rakyat.

Kerajaan juga hendaklah sentiasa bekerjasama dengan pembekal perkhidmatan seperti Google, Yahoo, Facebook dan Twitter untuk memastikan dilakukan pembetulan yang dituntut selaras dengan undang-undang sedia ada.

Undang-undang tetap diperlukan untuk melindungi keselamatan awam, hubungan Malaysia dengan negara asing serta mencegah pengaruh luar terhadap politik negara.

Oleh: Moaz Nair

UTAMABERITAMansuh Akta AntiBerita Tidak Benar berita gembira bagi pengguna media sosial

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium