Syed Husin Ali menyifatkan keputusan PRK Tanjung Piai – di mana Pakatan Harapan (PH) kalah besar di tangan BN – adalah referendum terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas timbalan presiden PKR itu berkata mesej yang disampaikan cukup jelas.
“Keputusannya paling jelas. Rakyat kecewa dan mahu ajar PH, khususnya Dr Mahathir.
“Beliau harus tahu apa yang patut dilakukannya dengan segera. Jangan dolak dalik lagi,” katanya di Twitter.
Keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan calon BN Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar, iaitu 15,086 undi.
Beliau mendapat 25,466 undi manakala calon PH Karmaine Sardini hanya 10,380 undi.
Calon lain yang bertanding iaitu Wendy Subramaniam daripada Gerakan mendapat 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) mendapat 850 undi, dan dua calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing meraih 380 dan 32 undi.
Mahathir selaku pengerusi Bersatu turut berkempen untuk Karmaine, antaranya di ceramah pada Rabu lalu.
Semalam, beliau turut menulis surat terbuka kepada pengundi Tanjung Piai untuk menggesa mereka menolak Wee dan memberi peringatan tentang politik kaum oleh Umno dan PAS.
Pada September lalu, Syed Husin mengecam Mahathir kerana tidak menggariskan pelan peralihan kuasa secara jelas dan mempersoalkan pemimpin PH kerana menurutnya tidak lagi mampu berdepan dengan Mahathir.
Beliau juga menyifatkan kenyataan Mahathir berkenaan tidak mampu menjamin kemampuan penggantinya dalam melaksanakan tanggungjawab dengan baik, sebagai “pengkhianatan dan penghinaan kepada PH”.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini kemudiannya, Syed Husin mendakwa Mahathir “telah kembali kepada autoritarinisme”.
“Mahathir sudah menjadi dirinya yang dulu, terutama beberapa bulan kebelakangan ini. Mahathir yang dulu bermakna dia diktatorial atau autoritarian,” katanya.
Di sebalik sejumlah kenyataan oleh Mahathir dan Anwar Ibrahim berkenaan janji peralihan kuasa, timbul spekulasi bahawa ia tidak akan terjadi.
Sementara itu, bekas menteri di jabatan perdana menteri Zaid Ibrahim berkata keputusan PRK Tanjung Piai bukanlah perkara yang mengejutkan.
“Tanjung Piai bukanlah suatu yang mengejutkan. Ramai pengundi masih merasakan PM adalah pemimpin BN. Begitulah popularnya dia,” katanya di Twitter.