Hanipa isytihar ‘perang’, penyebar berita palsu diburu ke lubang cacing - pakdin.my

Kerajaan menubuhkan jawatankuasa kerja khas merangkumi polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memburu penyebar berita palsu mulai hari ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.

“Kebelakangan ini salah guna media sosial untuk sebarkan berita fitnah isu agama yang lebih melibatkan keresahan masyarakat.

“Kami tidak berdiam diri selepas ini. Polis dan AGC akan tubuhkan jawatankuasa kerja khas cari orang-orang (sebar berita palsu) ini sampai lubang cacing.”

Demikian katanya kepada pemberita di sidang media hari ini di Bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith.

Hanipa berkata bahawa kerajaan mengambil serius penyebaran berita palsu yang semakin memberi keresahan kepada masyarakat.

“Kami memang mengalu-alukan rakyat guna media sosial untuk kritik kerajaan. Kritik kerajaan boleh. Tapi jangan fitnah dan sebar isu perkauman. Tapi, kami amat sedih ada pihak cuba salah gunakan kebebasan diberikan.

“Selepas ini dengan jawatankuasa kerja khas yang ada kami akan menjadi lebih efektif, akan perang terhadap budaya berita palsu,”katanya.

62 kes masih disiasat

Menurut statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang diedarkan pada sidang media menunjukkan bahawa sehingga Februari 2020, sebanyak 62 kes berhubung penyebaran berita palsu masih dalam siasatan.

Daripadanya, sebanyak lapan kes didakwa di mahkamah.

SKMM juga mengesahkan menerima sebanyak 939 laporan sehingga kini dan 793 kesnya diberikan nasihat ekoran tiada maklumat lengkap, konflik interpersonal dan sebab yang lain.

Hanipa juga mengesahkan bahawa kerajaan akan ambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu kononnya Menteri Kewangan Lim Guan Eng mempengerusikan mesyuarat Tabung Haji.

“Menteri kewangan difitnah pengerusikan mesyuarat Tabung Haji. Tapi, sebenarnya lawatan Mujahid Yusoff Rawa (menteri di Jabatan Perdana Menteri) ke pejabat Kementerian Kewangan berjumpa Guan Eng.

“Tapi, ditularkan kononnya mempengerusikan mesyuarat berkaitan Tabung Haji sehingga timbulkan keresahan di kalangan orang Islam. Akan ada pendakwaan ke atasnya,” katanya.

Beliau juga memberi satu contoh seorang pemimpin parti PAS mendakwa DAP mahu menghapuskan status Bumiputera.

“Sebenarnya ia adalah isu Lim Kit Siang pada tahun 1969. Tapi, ditularkan sekarang. Timbulkan keresahan dan jejaskan perpaduan.

“Saya percaya dengan teknologi dan kemampuan yang ada pada SKMM, siapa saja pemegang akaun palsu boleh dikesan dengan mudah. Kita akan hingga ke lubang cacing sekiranya perlu.

Tiada yang kebal

Sementara itu, Eddin berkata bahawa tiada siapa kebal daripada tindakan akibat penyebaran berita palsu.

“Tidak siapa kebal. Sesiapa yang sebar berita palsu perlu bersemuka akibat daripadanya. Tak kira siapa pun mereka.

Namun, beliau memberitahu bahawa mereka masih menerima kritikan terhadap kerajaan.

“Kritikan tidak akan diambil tindakan. Kami tidak akan diskriminasi,” jelasnya.

Tambahnya, penyebaran berita palsu berhubung isu Covid-19 titik permulaan kerajaan menginisiatif jawatankuasa kerja khas membanteras berita palsu.

“Ini adalah satu permulaan kepada ketegasan kerajaan untuk tangani berita palsu. Apabila terlalu banyak ruang dan keterbukaan ada segelintir yang bertindak di luar batas dan ketepikan perpaduan segala kestabilan selama ini yang dikekalkan kerajaan.

Sehingga kini sebanyak sembilan dituduh kerana menyebarkan maklumat palsu berhubung isu Covid-19 yang menyebabkan orang ramai panik.

Dalam pada itu, Hanipa berkata bahawa kerajaan tidak akan mengkaji semula Akta Antiberita Tidak Benar 2018 untuk membendung budaya berita palsu.

“Kerajaan tidak akan mengkaji semula akta berita palsu. Kami percaya undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mengambil tindakan. Tidak perlu memperkenalkan semula akta berita palsu,” katanya.

Jelasnya, Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan digunakan dalam mengekang penyebaran berita palsu.

UTAMABERITAHanipa isytihar ‘perang’, penyebar berita palsu diburu ke lubang cacing

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium