[Video] Dua Adun PKR Umum Keluar Parti, Kerajaan PH Kedah Tumbang - pakdin.my

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah dari PKR hari ini mengisytiharkan keluar parti untuk menjadi ADUN Bebas, dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Mereka adalah ADUN Lunas Azman Nasrudin, dan ADUN Sidam Dr Robert Ling Kui Ee.

Susulan pengumuman kedua-dua wakil rakyat itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, hilang majoriti hari ini.

Tindakan Azman dan Ling itu menyaksikan kedudukan kerusi PH dan Bersatu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkurangan kepada 17 berbanding 19 sebelum ini.

Sementara PAS dan UMNO, yang sebelum ini memiliki 17 kerusi (PAS-15, UMNO-2) dijangka menubuhkan kerajaan negeri baharu dengan sokongan dua wakil rakyat tersebut, dengan majoriti mudah 19 kerusi.

Pada sidang media bersama ketika mengumumkan perkara itu Ling berkata, keputusan tersebut dibuat selepas beliau hilang keyakinan kepada kepimpinan PKR.

“Jadi hari ini saya mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai Ketua Cabang Keadilan Sungai Petani serta merta.

“Kedudukan saya sebagai ADUN Sidam juga sekarang bukan lagi atas lambang Keadilan (PKR),” katanya.

Sementara itu, Azman yang sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan, Industri Utama negeri berkata, kegawatan politik negara pada Februari tahun ini yang membawa kepada perubahan kerajaan Pusat, adalah kemuncak masalah dalam PKR.

Susulan keputusan keluar parti itu Azman berkata, beliau dan Ling menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di peringkat kerajaan Pusat.

Dalam pada itu Azman berkata, beliau dan Ling juga akan menyertai sidang media Perikatan Nasional Kedah, yang dijangka diadakan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, pada pukul 3 petang ini. – BERNAMA

UTAMAPOLITIK Dua Adun PKR Umum Keluar Parti, Kerajaan PH Kedah Tumbang

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium