Saman atas pengampunan Anwar boleh diteruskan - pakdin.my

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan kerajaan dan Anwar Ibrahim untuk membatalkan tuntutan saman yang dikemukakan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berhubung pengampunan Anwar pada 2018.

Dalam tuntutannya, Khairul meminta pengisytiharan pengampunan yang diberikan kepada Anwar tidak menepati keperluan undang-undang, kerana Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan tidak dibentuk sesuai dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Akhtar Tahir memutuskan ia bukan kes yang jelas untuk ditolak secara ringkas dengan membatalkan permohonan bawah Peraturan Mahkamah.

“Bukti mungkin perlu dikemukakan kepada mahkamah. Defendan ke-2 (Anwar) juga berhak untuk memeriksa semula saksi,” katanya.

Akhtar berkata, ada persoalan perlu dijawab mengapa Yang di-Pertuan Agong mengetepikan sabitan Anwar atas kes liwatnya.

“Tertuduh lain yang menghadapi tuduhan sama akan berasa tidak adil kerana mereka tidak diampun dan mereka akan mempersoalkan mengapa orang ini (Anwar) diampunkan,” katanya.

Akhtar menetapkan 24 hingga 26 Mac 2021 sebagai tarikh perbicaraan.

“Saya akan memberi masa yang cukup kepada pihak berkenaan untuk membuat rayuan hingga Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Anwar diwakili oleh peguam J Leela, dan peguam kanan persekutuan Natra Idris mewakili kerajaan.

Khairul sebelum ini mendakwa komposisi lembaga pengampunan adalah bercanggah dengan Artikel 42 (5) untuk memberikan nasihat kepada Agong bagi memberikan pengampunan kepada Anwar.

Dakwanya, beliau mempunyai kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman itu.

Peguam itu berkata, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pada 11 Mei 2018, 2 hari selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan, bahawa Agong memberi pengampunan penuh kepada Anwar.

“Pengampunan itu berlaku sebelum Kabinet dibentuk dan ini melanggar Artikel 42 (4) dan (5) undang-undang tertinggi negara,” katanya.

Katanya, lembaga itu tidak wujud pada 16 Mei 2018 untuk memberi nasihat kepada Agong bagi memberikan pengampunan pada Anwar, yang kini menjadi pemimpin pembangkang.

Khairul berkata, seorang ahli lembaga – ketika itu Peguam Negara Mohamed Apandi Ali – sedang bercuti dan menteri Wilayah Persekutuan masih belum dilantik.

Katanya, Apandi juga tidak melantik peguam cara untuk mewakilinya dalam mesyuarat itu.

Artikel 42 (5) menyatakan keanggotaan lembaga pengampunan Wilayah Persekutuan perlu dianggotai oleh Peguam Negara, menteri dan sekurang-kurangnya 3 yang lain untuk memberikan nasihat kepada Agong.

Mahkamah Persekutuan, pada awal 2015, mengesahkan hukuman penjara 5 tahun terhadap Anwar atas tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar dalam sidang media pada 16 Mei 2018 berkata, Agong telah memberikan pengampunan penuh kepadanya dalam 3 kes perbicaraannya – penyalahgunaan kuasa, Liwat 1 dan Liwat 2 – dengan alasan terdapat “salah laksana keadilan”.

Beliau berkata, pengampunan itu juga dengan alasan ada konspirasi untuk menjatuhkan beliau dan “membunuh” karakter politiknya.

UTAMABERITASaman atas pengampunan Anwar boleh diteruskan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium