Sayu lihat waris hanya di tepi pagar tanah kubur - pakdin.my

Minggu ini menjadi minggu yang amat mencabar dan melelahkan buat lima anggota skuad pengurusan jenazah COVID-19 Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka berikutan peningkatan jumlah kematian akibat virus pembunuh tersebut di negeri berkenaan.

Tempoh urusan pengebumian yang mengambil masa sekitar 30 minit hingga satu jam itu cukup menguji keupayaan mental, emosi dan fizikal anggota Sukarelawan Tetap Pejabat Bahagian Sekretariat, Operasi dan Bencana APM Daerah Melaka Tengah Leftenan Muda (PA) Faza Astria Mohamed Rashid.

Walaupun tidak turun ke liang lahat dan hanya tertumpu kepada mengurus serta membuat laporan mengenai tugasan pengurusan pengebumian jenazah COVID-19, anggota wanita berusia 28 tahun itu menjelaskan cabarannya tetap sama kerana perlu berada bersama pasukan di setiap lokasi tanah kubur yang ditetapkan.

“Kita sama-sama tunggu jenazah tiba dari hospital dan bersiap mengenakan kelengkapan alat perlindungan peribadi (PPE). Sampai sahaja jenazah, kita akan uruskan dari awal hingga akhir seperti memasukkan jenazah dalam liang lahat, mengebumikannya dan bacaan doa.

“Nampak mudah tapi apabila menguruskan jenazah dengan memakai PPE dan melihat wajah hiba waris yang tidak dapat bersama jenazah, ia sangat berat pada hati kami,” katanya ketika ditemui Bernama.

Faza Astria, wanita pertama ditugaskan di unit yang ditubuhkan pada awal Jun lepas berkata cabaran menguruskan jenazah dengan berat mencecah 160 kg menjadi pengalaman paling bermakna buat dirinya.

“Memang ambil sedikit masa untuk uruskan jenazah tersebut namun ia berjaya disempurnakan. Selain itu, menguruskan pengebumian pada waktu malam juga sangat mencabar kerana kekangan pencahayaan lampu. Susah hendak gali liang dan masukkan jenazah,” katanya, sambil memaklumkan kebanyakan kes diterima tidak mengira masa.

Beliau berkata setakat semalam, sebanyak 57 pengebumian jenazah telah diuruskan unit berkenaan  meliputi daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Seorang lagi rakan sepasukan Faza Astria, Sarjan (PA) Shahrul Fitri Daud berkata urusan pengebumian bukan sekadar mengambus tanah dengan memakai PPE tetapi memerlukan kekuatan melawan emosi tatkala berdepan ahli keluarga yang tidak dapat menguruskan jenazah.

“Walaupun bukan kena pada diri sendiri, hati memang sedih sangat sebab lihat mereka hanya mampu lihat dari luar pagar. Paling dekat pun dalam jarak tiga meter dari liang lahat,” katanya.

Sementara itu, penolong penyelaras pengurusan jenazah COVID-19 Majlis Agama Islam Melaka (JAIM) Muhammad Khidir Bahrin berkata sikap waris dan ahli keluarga yang semakin terbuka terhadap proses pengebumian jenazah COVID-19 memudahkan pihaknya serta APM melaksanakan tugasan.

“Pengalaman saya menjadi antara yang terawal menguruskan jenazah COVID-19 di Melaka, pada mulanya agak sukar kerana terikat dengan peraturan unit forensik Hospital Melaka, yang hanya membenarkan seorang waris masuk dan membantu menguruskan jenazah. Tapi hari demi hari peraturan itu ditambah baik dengan mengambil kira emosi dan perasaan waris,” katanya.

Meskipun begitu, masih ada pegawai di tanah kubur yang terpaksa menenangkan perasaan waris kerana ada antaranya meninggal dunia pada muda dan meninggalkan anak-anak yang  masih kecil.

“Jadi ini semua kena ambil kira, emosi mereka kita kena prihatin kerana tidak mahu waris ni terus bersedih. Selain membenarkan waris yang dipilih membantu menguruskan jenazah, kami juga cuba penuhi hasrat jika ada waris minta van jenazah melalui depan rumah mereka,” katanya.

— BERNAMA

 

UTAMABERITASayu lihat waris hanya di tepi pagar tanah kubur

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium