UMNO telah lama amal dasar rentas politik, Perikatan dan BN bukti kejayaan kemudi negara – Mohamad Hasan - pakdin.my

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO telah lama mengamalkan dasar rentas politik iaitu melalui Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN) yang telah berjaya mentadbir negara selama 60 tahun lebih dalam keadaan aman dan harmoni.

Menurut beliau sejarah awal menerusi MCA dan MIC melalui Perikatan dan kemudiannya bersama rakan-rakan lain di dalam BN telah berjaya meletakkan negara dan rakyat negara ini dalam satu keadaan yang cukup baik malah parti yang cauvinis memasuki BN, mereka faham serta mengamalkan asas kerjasama rentas kaum, rentas agama dan budaya.

“Jadi tidak timbul mengatakan ohhhh… UMNO tidak boleh bekerjasama dengan sesiapa tetapi nak bekerjasama dengan sesiapa itu mengikut kepandaian dan kita kena menelaah dan kita cerdiklah nak pilih siapa. Kita mesti bekerjasama dengan parti yang boleh memberi kekuatan dengan kita dan bukan nak bagi diri kita dikerjakan oleh orang dengan parti-parti lain.

“Kerjasama dengan dikerjakan dua perkara yang berlainan. Jangan kita masuk dalam keadaan kita dikerjakan. Nak bekerjasama dengan parti yang tidak ada akar umbi apa faedahnya. Kita mesti bekerjasama dengan parti yang boleh menambah nilai. Kita mesti bekerjasama atau pun mengadakan persefahaman dengan parti yang boleh menambah kekuatan. Ini asas yang dibuat semasa dalam BN dahulu, Perikatan dahulu. Jadi tidak timbul UMNO tidak boleh bekerja dengan sesiapa.

“Malah tidak timbul orang kata UMNO ini parti yang rasis Melayu sahaja….’No’. Kita dah buat Parti Perikatan, kita dah buat parti BN . Rentas politik ini memang mainan kita, rentas politik ini memang di dalam kamus kita yang telah pun lama bekerjasama. Parti yang cauvinis dulu pun masuk dalam BN mereka faham dan mereka mengamalkan asas kerjasama rentas kaum, rentas agama dan budaya,” katanya dalam Program Bual Bicara ‘Terus Terang Bersama Tok Mat’ yang disiarkan menerusi  Facebook UMNO-Online, di sini Isnin tadi.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN seterusnya menjelaskan pemilihan rakan kerjasama cukup penting kerana pengakhiran cerita politik adalah menubuhkan kerajaan dan seterusnya menguruskan negara dan rakyat.

Malah tambahnya lagi langkah itu juga akan menentukan kuat atau tidak sesebuah kerajaan yang akan ditubuhkan kelak kerana sepertimana yang ditekankan sebelum ini pengakhiran politik adalah untuk menubuhkan sesebuah kerajaan.

“Politik pengakhir ceritanya adalah kita nak tubuh kerajaan dan kita boleh menguruskan negara. Kalau setakat nak hantar beras rumah orang tiap-tiap bulan lebih baik buat NGO (badan bukan kerajaan)…tidak  perlu pening kepada. Ini bezanya politik dengan NGO. Kita masuk politik, kita tubuh parti politik untuk kita menubuhkan kerajaan.

“Apabila dah tubuh kerajaan kita akan mentadbir kerajaan dan kita boleh urus negara.  Itu bezanya politik dengan NGO. NGO tidak ada cerita-cerita tubuh kerajaan. UMNO adalah parti politik dan telah lama mengurus negara. Kalah 2018 tidak mengapalah kita bermuhasabah diri dan kita susun balik kita punya strategi untuk menghadapi PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15),” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu lagi.

Dalam pada itu Mohamad turut berkongsi pandangan bahawa mendepani cabaran ke hadapan, rakyat mahu melihat UMNO membawa perubahan.

“Orang nak kita berubah…orang nak lihat kita berubah corak. Kita tidak boleh duduk dalam kepompong lama kita dan kita mesti dengar cakap orang dan kita mesti berupaya mengenengahkan bakat-bakat baharu, orang-orang muda.

“Kalau tidak nanti orang akan lihat kita dan katakan parti ini parti dah lapuk. Jadi ambil kesempatan PRU-15, mari kita cari mereka yang boleh dijadikan sebagai orang yang boleh diterima masyarakat setempat, orang yang boleh membawa kemenangan kepada parti kita.

“UMNO mesti mengikut selera semasa. Jadi kita mesti dengar suara dan pandangan serta hasrat rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

UTAMAPOLITIKUMNO telah lama amal dasar rentas politik, Perikatan dan BN bukti kejayaan...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium