Selepas Omicron, kini muncul lagi varian baharu, Deltacron. Ini fakta yang perlu kita tahu - pakdin.my

SEPERTI sudah dijangka, virus Covid-19 akan terus bermutasi.Kebimbangan Omicron belum lagi terlerai, kini muncul varian baharu yang dikenali sebagai Deltacron iaitu ‘gabungan’ Delta dan Omicron.

Pun demikian, pakar penyelidik antarabangsa meminta penduduk dunia supaya tidak terlalu gusar atau panik terhadap penemuan varian terkini itu.

CNN Indonesia memetik artikel yang disiarkan oleh New York Post berkata, sehingga kini masih belum disahkan atau belum ada sebarang bukti kukuh yang menunjukkan wabak tersebut boleh menjangkiti dengan pantas.

Menurut Pakar Virus, Institut Pasteur, Perancis, Etienne Simon-Loriere memaklumkan, ciri virus sementara yang dikenal pasti tidak menunjukkan tanda-tanda menyebabkan fasa baharu wabak itu.

Ia turut disahkan melalui pemeriksaan jujukan genom keseluruhan oleh saintis di IHU Méditerranee Infection di Marseille, Perancis.

“Permukaan virusnya sangat mirip dengan Omicron sehingga tubuh akan mengenalinya (simptom) seperti ciri-ciri Omicron,” kata Simon Loriere.

Setakat artikel ini disiarkan, Deltacron sudah menular sejak Januari lalu dan ditemui di Denmark dan Belanda.

Menurut laporan The Guardian pula, kira-kira 30 kes juga sudah dikenal pasti di United Kingdom dan dua lagi kes di Amerika Syarikat seperti dipetik oleh Reuters.

Menurut laporan data GISAID, varian itu kini sudah dikesan di beberapa wilayah di Perancis.

Dalam pada itu, sesetengah penyelidik yakin, bentuk spike virus yang khas daripada Omicron membuatkan varian tersebut tidak akan menyebabkan gejala yang terlalu berat.

Seperti yang semua sedia maklum bahawa varian Omicron menyerang sel pada hidung dan saluran pernafasan, namun tidak menjejaskan paru-paru.

Justeru, ramai penyelidik membuat kesimpulan, sifat serupa diramalkan berlaku pada jangkitan varian Deltacron.

PEMANTAUAN BERTERUSAN

Perkongsian Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Soumya Swaminathan di dalam akaun Twitter baru-baru ini turut menarik perhatian dunia.

“Kita sedia maklum bahawa kombinasi antara manusia atau haiwan boleh tercetus selepas pelbagai varian SARS-CoV-2 yang menular. Pun demikian, kita perlu menunggu hasil eksperimen untuk mengetahui sifat-sifat virus ini.

“Kepentingan penjujukan pantas, analisis dan perkongsian data semasa, sangat perlu untuk menghadapi wabak ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Teknikal Covid-19, WHO, Maria Von Kerkhove memberitahu, setakat ini saintis tidak melihat sebarang perubahan jangkitan yang parah pada Deltacron berbanding varian sebelum ini.

“Banyak penyelidikan saintifik sedang dijalankan dan kami menjangkakan untuk melihat berlakunya kombinasi kerana virus berubah dari semasa ke semasa.

“Kami melihat tahap penyebaran SARS-Cov-2 sangat agresif. Ia boleh menjangkiti haiwan dan berkemungkinan boleh menjangkiti manusia semula,” kata Maria seperti yang dipetik daripada Reuters.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya akan sentiasa memantau dan mengesan tahap varian baharu yang muncul di negara ini termasuk Deltacron.

Menurut beliau, setakat ini tiada tanda menunjukkan varian baharu memberi risiko tinggi terhadap kesihatan awam dan sekiranya varian dikesan lebih mengganas, maka langkah berpatutan akan diambil.

Justeru, meskipun negara menuju fasa endemik, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang ditetap demi membendung wabak bersama.

#kitajagakita #kitalaluibersama

UTAMAGAYA HIDUPKESIHATANSelepas Omicron, kini muncul lagi varian baharu, Deltacron. Ini fakta yang perlu...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium