[VIDEO] Bekas pengarah urusan BNS didakwa pecah amanah RM21.08 juta - pakdin.my

Bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd  (BNS) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berhubung projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ahmad Ramli, 78, yang juga bekas Panglima Tentera Laut mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu yang  dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Saya faham, saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Ramli sebagai pengarah urusan BNS yang diamanahkan dengan penguasaan dana syarikat itu telah melakukan pecah amanah ke atas harta tersebut dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited,  Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di BNS, tingkat 17, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan, antara 26 Julai 2010 dan 25 Mac 2011.

https://youtu.be/GGSaeEDCDc0

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad Ramli dituduh melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation, The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, Chulia Street, OCBC Centre, Singapura  tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di lokasi sama antara 19 April 2011 dan 4 Mei 2011.

Dia juga didakwa atas kesalahan serupa dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd, Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapura di tempat sama antara 28 Okt 2010 dan 22 Nov 2010.

Ketiga-tiga pertuduhan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Ahmad Ramli diikat jamin berjumlah RM500,000 dengan cagaran berbayar RM200,000 untuk semua pertuduhan serta syarat tambahan pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan  24 Nov untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Terdahulu, Ahmad Akram mencadangkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin serta cagaran berbayar sebanyak RM200,000 untuk kesemua pertuduhan.

“Jumlah jaminan tersebut telah dipersetujui oleh pihak pembelaan. Pihak pendakwaan juga memohon syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah untuk disimpan,” katanya.

Sementara itu, Wan Shaharuddin memaklumkan kepada mahkamah pihak pendakwaan dan pembelaan telah bersetuju dengan tarikh sebutan pada 24 Nov ini mengambil kira faktor jumlah dokumen yang banyak dan perlu diteliti oleh kedua-dua pihak.

“Saya juga dimaklumkan ada kemungkinan pihak pembelaan akan menghantar satu surat representasi berkenaan kes ini kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Mohd Yusof mengesahkan pihaknya akan menghantar satu surat representasi bagi menyemak semula pertuduhan terhadap anak guamnya.

Sementara itu, Ahmad Ramli selesai membayar wang jaminan dengan cagaran RM200,000 yang diperintahkan mahkamah sebelum beredar dari mahkamah pada 11.30 pagi.

Mohd Yusof  ketika ditemui di perkarangan mahkamah mengesahkan pembayaran itu.

Sementara itu, Wan Shaharuddin ketika dihubungi berkata hanya cagaran RM200,000 perlu dibayar oleh tertuduh manakala baki RM300,000 perlu dibayar sekiranya tertuduh melanggar syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.

Pada 4 Ogos lepas, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan tiada satupun LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntuk lima daripada enam kapal tersebut seharusnya disiap dan diserahkan setakat Ogos 2022.

Pada 11 Ogos Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan telah melengkapkan kertas siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS.

Menurut sumber, ada lagi individu akan dituduh di mahkamah berkaitan kes itu.

BACA berita sebelumnya:
https://pakdin.my/16048

UTAMABERITA Bekas pengarah urusan BNS didakwa pecah amanah RM21.08 juta

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium