PRN: Mohd Isam umum tidak pertahan kerusi DUN Gemencheh - pakdin.my

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh Datuk Mohd Isam Mohd Isa hari ini mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Mohd isam yang juga Ahli Parlimen Tampin berkata keputusan dibuat berikutan mahu memberi tumpuan penuh terhadap perkhidmatan di kawasan Parlimennya.

“Saya doakan rakan-rakan supaya menang pada PRN nanti, saya tidak akan bertanding lagi pada PRN, maknanya Gemencheh (kerusi) kosong.

“Kalau Datuk Speaker (Datuk Zulkefly Mohamad Omar), berminat bolehlah… tetapi sebelum itu kena meminang, bukan macam meminang Puteri Gunung Ledang pun, syarat pertamanya kena masuk UMNO dululah,” katanya ketika berucap pada sesi penangguhan pada persidangan penggal kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

VIDEO Berkaitan:

Jangan lupa subscribe

Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan kepimpinan kerajaan negeri kerana melaksanakan tanggungjawab serta amanah dengan amat baik sepanjang penggal ini.

Mohd Isam turut optimis bahawa kerajaan negeri akan kekal dipimpin Kerajaan Perpaduan pada penggal akan datang sekali gus menjadikan Negeri Sembilan antara negeri maju dalam negara.

“Kita mengharapkan kerajaan akan datang fokus membantu masyarakat terutama Tampin, Jempol dan Jelebu, teruskan membantu masyarakat… kalah bukan mati, menang rezeki, asal kebajikan diperhati, kotakan janji,” katanya.

Mohd Isam, 54, adalah ADUN Gemencheh mewakili Barisan Nasional (BN) sejak 2013 dan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau kali pertama diberi kepercayaan bertanding sebagai Ahli Parlimen Tampin.

Beliau memperoleh 23,283 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Faiz Fadzil (22,007 undi), Abdul Halim Abu Bakar daripada Perikatan Nasional (PN) (14,962 undi) diikuti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Zamani Ibrahim (781) undi.

ADUN Senaling yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Adnan Abu Hassan kemudian bangun mencelah dan turut mengambil kesempatan memohon maaf sepanjang menjadi anggota Dewan dan menyatakan ia mungkin ucapan terakhirnya sebagai ADUN.

“Jika ini merupakan ucapan terakhir saya sebagai ADUN, saya ingin ucapkan terima kasih. Kita bina perhubungan yang cukup baik antara semua wakil rakyat dan isu-isu dikemukakan kerajaan dapat dibincang dengan baik,” katanya yang berkhidmat sebagai ADUN Senaling mewakili BN sejak 2018.

Terdahulu, persidangan DUN hari ini turut meluluskan Enakmen Anggota Pentadbiran Dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2023 selepas usul pindaan oleh Aminuddin disokong sebulat suara ahli Dewan.

Ia antara lain bertujuan memasukkan perkataan ‘Timbalan Yang Dipertua Dewan’ dalam takrifan ‘Ahli atau Anggota’ untuk memperjelas hak dan keistimewaan Timbalan Yang Dipertua Dewan sebagai sebahagian daripada Ahli atau Anggota.

Persidangan DUN ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

BACA juga:

  1. [VIDEO] PRN: Anwar serahkan kepada kebijaksanaan pimpinan negeri mulakan rundingan kerusi
  2. Kerajaan Perpaduan perlu pastikan pentadbiran kuat untuk stabilkan ekonomi – Anwar
  3. Perhimpunan Agung UMNO 2023 Lebih Awal, Sebelum PRN – Ahmad Zahid
  4. Umno Pulau Pinang Pertikai Tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang Mahu Adakan Pilihan Raya Negeri Untuk Tutup Salahlaku #LGErasuah
  5. Keputusan MKT: Perjuangan UMNO Demi Rakyat – Pemuda UMNO Negeri Sembilan
UTAMAPOLITIKPRN: Mohd Isam umum tidak pertahan kerusi DUN Gemencheh

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium