Operasi SAR Orang Asli dikhuatiri dibaham harimau masuk hari kedua - pakdin.my

GUA MUSANG, — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki Orang Asli Bateq yang dilaporkan hilang dikhuatiri diserang harimau ketika memancing di hulu Sungai Aring, Kampung Aring 5, di sini, diteruskan pada hari kedua hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang DSP Azmi Mokhtar berkata kumpulan 14 anggota penyelamat yang terdiri daripada anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terpaksa bermalam di dalam hutan malam tadi.

Beliau berkata kumpulan penyelamat berkenaan meneruskan perjalanan pagi ini dan belum tiba di tempat kejadian yang berjarak sembilan kilometer (km) dari Kampung Aring 5.

“Seawal 8 pagi hari ini mereka sudah bergerak ke tempat kejadian dan sudah sampai sejauh jarak lima kilometer. Agak sukar menganggarkan masa yang tepat untuk sampai ke lokasi memandangkan kawasan berbukit.

VIDEO berkaitan:

Janngan lupa subscribe

“Terdapat kumpulan tambahan pencari melibatkan 10 anggota Perhilitan bagi kumpulan pertama yang masuk (ke hutan) melalui jalan sungai menggunakan kanu, manakala kumpulan kedua terdiri daripada 16 anggota menggunakan jalan darat,” katanya kepada pemberita di Kampung Aring 5 di sini hari ini.

Azmi berkata SAR berkenaan juga akan dibantu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bermula esok.

“Kanu digunakan kerana terdapat jeram dan risiko kayu balak melintang jalan. Kita ada bot daripada pihak polis, bomba serta APM tetapi apabila kita selidik bersama masyarakat Orang Asli, kita dapati bot tidak lepas untuk ke sana.

“Jadi kita terpaksa gunakan cara lain iaitu kanu,” katanya.

Dilaporkan, mangsa iaitu Halim Asin, 27, hilang ketika sedang memancing bersama anak saudaranya Alang Kuang, lapan tahun, kira-kira 11.30 pagi semalam.

……………

BERITA awal:

ORANG ASLI SUKU KAUM BATEQ DIKHUATIRI DIBAHAM HARIMAU KETIKA MEMANCING

Seorang lelaki Orang Asli Bateq dilaporkan hilang dikhuatiri akibat diserang harimau ketika memancing di hulu Sungai Aring di Kampung Aring 5, di sini, semalam.

Ketika kejadian mangsa Halim Asin, 27, sedang memancing bersama anak saudaranya Alang Kuang yang berusia lapan tahun, kira-kira 11.30 pagi.

Bapa Alang, Kuang Camang, 31, berkata anaknya mendakwa ketika memancing mereka telah diserang harimau tersebut.

“Anak saya yang terkejut terus terjun ke dalam sungai dan berenang menyelamatkan diri sebelum menceritakan kejadian itu kepada kami yang berada kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

“Kami sempat meninjau di tempat kejadian tetapi tidak menemui adik ipar saya di kawasan itu,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Kuang bersama tujuh orang lagi termasuk mangsa dalam perjalanan dari Kampung Cangkung, Jerantut, Pahang untuk pulang ke Kampung Aring 5 dengan berjalan kaki dan singgah berehat di sungai berkenaan.

“Sebelum Ramadan lalu kami ke Kampung Cangkung dan tinggal di sana selama sebulan. Kami mula berjalan kaki (bertolak) untuk pulang ke Kampung Aring 5 pada Sabtu lalu.

“Pada 11 pagi semalam, saya, isteri, empat orang anak, Halim dan bapanya telah sampai di Sungai Aring dan membuat khemah di pinggir sungai untuk bermalam kerana ingin menangkap ikan,” katanya.

Bercerita lanjut Kuang berkata selepas kejadian itu meskipun berada di dalam ketakutan mereka bertolak ke Kampung Aring 5 pada 1.30 petang dan terus melaporkan insiden terbabit kepada penghulu dan penduduk sejurus tiba pada 5.30 petang di kampung tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo mengesahkan menerima laporan berkaitan kehilangan lelaki suku kaum Bateq itu pada 10 malam tadi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat oleh anggota keselamatan telah digerakkan bermula hari ini.

BACA juga:

UTAMABERITAOperasi SAR Orang Asli dikhuatiri dibaham harimau masuk hari kedua

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium