SUNGAI BESAR — Perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan di luar nikah dipercayai punca seorang pelayan restoran dibunuh kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata suspek yang merupakan bekas penuntut kolej itu telah membawa mangsa menaiki kereta seterusnya bertengkar dengan wanita berusia 21 tahun itu sebelum dipukul di kepala lantas dibunuh di lokasi berkenaan sekitar 10 malam.
Terdahulu, Agus Salim berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang wanita tempatan dalam keadaan terbakar dan tertiarap di kawasan kebun kelapa sawit tersebut sekitar 8 pagi semalam (23 Mei).
Katanya hasil tindakan pantas pihaknya, mereka berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun di sebuah kediaman di sekitar Sungai Besar pada 1.45 tengah hari semalam.
“Hasil siasatan awal, mangsa dipercayai telah dibakar sebanyak dua kali bertujuan untuk melupuskan bukti iaitu sekitar 10 malam (22 Mei) dan semalam sekitar 7 pagi sebelum ditemukan orang awam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya suspek didakwa telah memukul, menikam menggunakan pisau dapur dan menoreh perut mangsa sebelum membakar mayat kekasihnya pada malam kejadian dan keesokan harinya kembali ke tempat kejadian dengan membawa tong berisi petrol untuk membakar mayat itu sekali lagi.
Beliau berkata lelaki itu turut membuang barang bukti termasuk barangan milik mangsa di sekitar Jalan Lama, Kuala Selangor.
Agus Salim berkata semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau malah kedua-dua mereka telah mengenali antara satu sama lain sejak tahun lalu dan dipercayai kandungan mangsa telah berusia sekitar empat bulan.
Katanya suspek direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa yang 60 peratus terbakar berada di Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
Dalam kes berasingan, Agus Salim berkata pihaknya menahan empat lelaki pendatang asing tanpa izin warga Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 41 tahun dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran syabu seberat 30 kilogram bernilai RM1.08 juta di kawasan jeti Sekinchan pada 10 malam, 19 Mei lalu.
Beliau berkata kesemua suspek yang dipercayai terlibat mengedar dan menyeludup keluar dadah bagi dipasarkan ke negara jiran itu ditahan reman selama tujuh hari bermula 20 Mei lalu dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
BACA juga: