Insentif kerajaan untuk FELDA tingkat kualiti hidup peneroka - pakdin.my

Pelbagai insentif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk masyarakat Felda akan membantu meningkatkan kualiti hidup dan kebajikan warga peneroka, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery berkata inisiatif yang diumumkan termasuk Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) berkenaan juga menunjukkan masyarakat Felda sentiasa mendapat perhatian dan pembelaan daripada Kerajaan Perpaduan MADANI hari ini bagi memastikan mereka tidak ketinggalan daripada arus pembangunan.

Beliau berkata inisiatif SKR, pembinaan pusat hemodialisis dan kos operasi lampu jalan yang melibatkan implikasi kewangan besar menunjukkan bahawa kerajaan ‘tidak berkira’ dan sentiasa mencari jalan bagi meringankan beban masyarakat Felda.

“Agenda pembangunan dan kebajikan untuk kesejahteraan masyarakat Felda sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” katanya ketika ditemui pada program Kesejahteraan Komuniti Malaysia MADANI sempena Hari Peneroka Felda Wilayah Terengganu di Felda Kertih 5 di sini, baru-baru ini.

Ahmad Shabery berkata lima daripada 12 pusat hemodialisis yang diumumkan oleh Perdana Menteri akan dibina pada tahun ini manakala tujuh lagi secara berperingkat dalam tempoh dua tahun.

Bagi SKR dan peruntukan kos operasi lampu jalan pula, agihan akan dibuat dalam masa terdekat kerana terdapat beberapa proses yang perlu diselesaikan.

Sementara itu Ketua Peneroka Felda Jerangau, Abd Razet Nordin, 67, berkata SKR sememangnya diperlukan oleh generasi pertama Felda yang kini semakin berumur dan memerlukan penjagaan kesihatan yang lebih baik.

Beliau berkata dengan kenaikan kos sara hidup, lebih banyak perbelanjaan diperlukan untuk membeli ubat-ubatan atau makanan kesihatan tambahan, selain bergantung kepada perubatan percuma di klinik kerajaan.

“Memang kalau dipandang daripada segi nilai nampak macam kecil RM300 itu pada masa sekarang, tetapi yang penting ialah sikap cakna Perdana Menteri terhadap kesusahan dan kebajikan rakyat Felda,” katanya.

Selain itu, Abd Razet berkata beliau berasa lega kerana kerajaan juga bersetuju membayar kos operasi lampu jalan di kawasan Felda sekali gus mampu menambah baik dan meningkatkan tahap keselesaan peneroka pada waktu malam.

Menurut beliau tunggakan bil elektrik lampu jalan di kawasannya telah mencecah sehingga RM13,000 dan perlu dijelaskan dalam kadar segera.

“Saya harap wang tersebut dapat disalurkan segera ke kawasan-kawasan Felda yang memerlukan. Lampu jalan ni amat diperlukan untuk elak kejadian tak diingini dan memudahkan aktiviti penduduk terutama pada waktu malam,” katanya.

Bagi Norimah Hassan, 75, dari Felda Kertih 5, beliau berkata SKR menggambarkan kesungguhan kerajaan dalam menjaga kebajikan dan kesihatan warga emas sepertinya.

Norimah berkata walaupun mempunyai ramai anak, beliau terpaksa menanggung diri sendiri kerana anak-anaknya sudah berkeluarga dan memiliki tanggungjawab masing-masing.

“Anak-anak semua kerja kampung dan ada ramai anak. Jadi makcik harap kerajaan dapatlah percepatkan pemberian SKR, bolehlah nanti beli ubat mana yang perlu,” katanya.

BACA juga:

UTAMABERITAAMInsentif kerajaan untuk FELDA tingkat kualiti hidup peneroka

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium