KUALA KRAI – Pasukan Gerakan Am (PGA) negara diarah meningkatkan kawalan di semua 151 pos keselamatan di bawah kendalian mereka dalam usaha mengekang penularan penyakit cacar monyet atau dikenali sebagai mpox ke dalam negara, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata, ketika ini empat pintu masuk utama negara yang dikawal rapi bagi tujuan mengekang penularan jangkitan penyakit itu terdiri daripada Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor.
“Sekarang ini apa yang merisaukan kita ialah jalan-jalan tikus yang dilalui mereka (individu yang dijangkiti wabak mpox) masuk ke negara ini dan menyebarkan penyakit itu, dan kerana itulah kawalan di pos-pos PGA perlu ditingkatkan,” katanya dalam sidang media selepas program pelancaran Kampung Angkat Madani di Kampung Jenal, Dabong di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada PGA terlibat dengan penugasan mengekang wabak berkenaan di sempadan Malaysia-Thailand.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun berikutan wabak itu di Republik Demokratik Congo dikesan telah merebak ke negara jiran.
BACA juga: