Fahami Proses Demi Pilihan Raya Yang Lancar - pakdin.my

pilihanraya-umumMeskipun tarikh pilihan raya masih belum ditetapkan, bahang pilihan raya semakin terasa terutama apabila melihat penggal Dewan Rakyat akan berakhir pada 28 April, 2013.

Rakyat Malaysia bagaikan tidak sabar menanti tarikh keramat Pilihan Raya (PRU) ke-13 yang disifatkan oleh ramai orang termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ‘ibu segala pilihan raya’.

PRU 13 dijangka paling sengit dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, susulan daripada landskap politik baru negara.

Apapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang berusaha untuk memastikan PRU13 kekal telus, adil dan bersih seperti mana pilihan raya yang lain di negara ini.

“Setakat ini seramai 13.1 juta pengundi telah berdaftar dengan SPR, termasuk 273,819 pengundi awal dan 2,651 pengundi pos,” kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

Sambil menyatakan jumlah tersebut boleh meningkat kerana SPR sedang mengemas kini daftar pemilih baru, beliau kesal kerana masih ada 3.3 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi tidak mahu mendaftar walaupun selepas pelbagai kempen dilaksanakan.

IRONI

Meskipun parti-parti politik dari kedua-dua pihak sedang bersiap sedia untuk menghadapi PRU, namun terdapat sebahagian besar masyarakat yang masih tidak faham tentang proses perlaksanaan pilihan raya.

Bagi menjelaskan kepada masyarakat dan media, pada 17 Jan lepas SPR mengadakan taklimat mengenai PRU 13 di Bernama. Semasa taklimat berkenaan Wan Ahmad menyentuh mengenai tahap ketelusan, isu berhubung pilihan raya dan undang-undang dan peraturan-peraturan baru dalam PRU 13.

DEWAN RAKYAT

Meskipun tarikh pilihan raya masih menjadi teka-teki, sehingga banyak tarikh menjadi spekulasi sejak awal 2012, namun kenyataannya ialah mandat Parlimen ke-12 akan terbubar pada 28 April 2013.

Sebaik Dewan Rakyat dibubarkan, atau mandat yang diberikan tamat tempoh, SPR diberi masa 60 hari untuk mengadakan pilihan raya.

“Sebaik sahaja parlimen terbubar, SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh-tarikh penting seperti pengeluaran writ kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan tarikh keluar notis pilihan raya oleh Pegawai Pengurus di setiap bahagian,” jelas beliau.

WAJIB CALIT DAKWAT KEKAL

PRU-13 akan menyaksikan perlaksanaan beberapa peraturan baru digubal, antaranya berkenaan penggunaan dakwat kekal seperti yang dicadangkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Semua pengundi wajib dicalitkan dengan dakwat kekal. Jika mereka enggan, kertas undi tidak akan dikeluarkan dan mereka tidak akan dibenar mengundi,” jelas Wan Ahmad.

Tidak ada pengecualian terhadap mana-mana pengundi. Bagi pengundi beragama Islam, penggunaan dakwat kekal ini telah pun mendapat kelulusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Beliau turut menjelaskan, pada PRU ke-12, cadangan penggunaan dakwat kekal terpaksa ditarik balik kerana ketika itu tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan SPR menghalang pengundi daripada mengundi jika mereka tidak mahu dicalit dengan dakwat kekal.

Perkara ini selari dengan pindaan kepada undang-undang yang diwartakan pada 13 Feb, 2012 yang memberi kuasa kepada SPR untuk memastikan keseragaman proses pilihan raya.

Undang-undang yang dimaksudkan ialah Peraturan 9, Peraturan -peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan 2012).

KEMUDAHAN BUAT PENGUNDI OKU

Pada PRU-13, orang kelainan upaya (OKU) dibenarkan untuk membawa sesiapa sahaja yang dipercayainya untuk membantu dalam proses pengundian. Sebelum ini hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan berbuat demikian.

Perkara ini termaktub dalam satu lagi pindaan yang diwartakan pada 13 Feb 2013 iaitu Peraturan 19, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan 2012).

Sebagai alternatif, mereka boleh juga meminta bantuan daripada Ketua Tempat Mengundi jika diperlukan.

PENGUNDIAN AWAL BUAT ANGGOTA KESELAMATAN

Pindaan juga dibuat pada 27 April, 2012 terhadap Peraturan 27A Peraturan-peraturan Pilihan raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan 2012) dan Peraturan 3 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 (Pindaan 2012) juga membuka lembaran baru buat PRU di Malaysia.

Sebagai langkah transformasi sistem Undi Pos, PRU 13 akan menyaksikan anggota Polis dan Tentera beserta pasangan mereka akan mengundi tiga hari lebih awal daripada tarikh pengundian biasa.

Menggunakan prosedur sama seperti pengundian biasa yang dikendalikan SPR, sedikit tambahan masa mengundi dari pukul 8.00 pagi hingga 7.00 malam diberikan untuk memudahkan para anggota yang bertugas mengundi.

Pusat-pusat mengundi bagi pengundi berkenaan akan ditetapkan oleh SPR, contohnya, Ibu Pejabat Polis Kontijen dan Ibu Pejabat Polis Daerah untuk pasukan Polis dan di dalam kem bagi anggota tentera.

Selesai pengundian, kotak-kotak undi akan disimpan di bawah tanggungjawab Pegawai Pengurus Pilihan Raya dalam kawalan selamat seperti di pejabat Pegawai Pengurus, lokap polis atau dewan-dewan dengan kawalan ketat.

Wan Ahmad menambah, jika ada pihak yang masih sangsi dengan cara ini, wakil calon atau parti yang bertanding boleh terlibat untuk turut serta dalam proses kawalan ini.

Pengiraan undi hanya akan dilakukan secara berkelompok selepas pukul 5.00 petang pada hari pengundian biasa di tempat-tempat pengiraan undi, disaksikan oleh ejen-ejen calon parti yang bertanding.

TRANSFORMASI PENGUNDIAN POS

Terdapat tiga golongan yang layak untuk mengundi secara pos. Pertama ialah penjawat awam atau pelajar sepenuh masa yang berada di luar negara, dikenali sebagai Pengundi Tidak Hadir (PTH).

Golongan kedua ialah petugas media yang terlibat dalam tugasan di luar kawasan dan golongan terakhir adalah rakyat Malaysia yang telah mendaftar sebagai pengundi tetapi bermastautin di luar negara.

Kesemua pengundi pos kecuali PTH perlu memohon kepada pegawai SPR melalui borang yang boleh dimuat turun secara atas talian di laman sesawang rasmi www.spr.gov.my.

Pengundi pos dalam negara perlu mengisi borang 1A manakala pengundi pos dari luar negara perlu menggunakan borang 1B.

Untuk nota, pengundi yang tertakluk kepada borang 1B perlu mempunyai rekod berada di atau kembali ke Malaysia sekurang-kurangnya selama 30 hari sebelum tarikh pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang berkuat kuasa.

Selepas mendaftar, pengundi di luar negara boleh mendapatkan kertas undi mereka daripada kedutaan Malaysia atau pejabat misi-misi diplomatik negara yang dinyatakan SPR.

Selesai mengundi, pengundi boleh mengepos sendiri kertas undi mereka atau menggunakan karung diplomatik yang disediakan.

SIAPKAN DIRI MENGHADAPI PRU

Wan Ahmad menyeru semua warga Malaysia untuk benar-benar memahami proses perjalanan pilihan raya serta prihatin tentang hak-hak mereka sebagai pengundi.

“Kami di SPR berusaha menjalankan tugas sebaik mungkin agar perjalanan PRU 13, terutama pada hari pengundian berjalan lancar,” kata beliau.

Beliau turut menggalakkan para pengundi untuk membuat semakan daftar pemilih yang sudah pun dibuka kepada orang ramai yang boleh dilakukan melalui laman sesawang SPR.

Sebagai alternatif, semakan juga boleh dilakukan dengan menghantar pesanan ringkas (SMS) SPR SEMAK Nombor Kad Pengenalan ke 15888.

Dengan peratusan pengundi keluar mengundi yang tinggi iaitu 75 peratus untuk kerusi-kerusi Parlimen dan 85 peratus bagi kerusi-kerusi DUN, Wan Ahmad berkata ini adalah bukti keyakinan rakyat Malaysia terhadap sistem pilihan raya yang dilaksana di negara ini.

Justeru beliau menyeru semua pengundi berdaftar untuk melaksanakan kewajipan mereka kepada negara dengan keluar mengundi kerana itu adalah hak asasi setiap individu.

“Jangan jual hak demokrasi anda,” tegas beliau pada akhir sesi.

UTAMAPILIHAN RAYAFahami Proses Demi Pilihan Raya Yang Lancar

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium