BERITAPOLITIK Nakhoda yang panik, Kapal yang retak

[VIDEO] Nakhoda yang panik, Kapal yang retak

Rakyat biasa tak minta pemimpin jadi hero wayang

Hampir lima tahun mengurus kerajaan, tiba-tiba Pakatan Harapan mengadakan konvensyen penuh semangat di Johor Bahru dengan tema “jangan berpecah, anak kapal”. Metafora kapal yang indah itu — penuh dengan amaran “kalau dipecahkan anak-anak kapal di tengah lautan, tenggelamlah kita” — kedengaran seperti ucapan motivasi kepada kru yang sudah mula gelisah mencari life jacket masing-masing.

Dalam video itu, Adam Adli berceramah dengan penuh ghairah: nakhoda tak boleh panik, nakhoda tak boleh mengelabah, nakhoda kena pimpin dengan kebijaksanaan. Beliau ulang “nakhoda yang baik” berkali-kali seolah-olah cuba meyakinkan diri sendiri. Sementara itu, di belakang pentas ada yang mengangguk, ada yang tepuk tangan, ada yang mula letih. Klasik.

Ironinya tebal sekali.

Ketika rakyat sedang bergelut dengan harga barang, hutang, dan masa depan yang kabur, pemimpin-pemimpin PH masih sibuk bercerita tentang “kesetiaan kepada perjuangan asal”. Perjuangan asal yang dikatakan dibina oleh mak cik masak nasi di bilik gerakan, pak cik motor usang, dan anak muda yang rela berbakti walhal poket kosong. Ya, perjuangan mulia itu. Yang entah bila hilang arah selepas merasa empuk kerusi empuk.

Kini, setelah lima tahun berkuasa, yang keluar dari mulut mereka masih retorik lama: jangan bergaduh, jangan pecah, jangan bertanya “betul ke arah kita ni?”. Seolah-olah rakyat yang mempersoalkan adalah pengkhianat, bukan penumpang yang sudah mula muntah-muntah di atas kapal yang oleng.

Yang paling sinis: pemimpin yang dulu kononnya “reformasi” kini perlu ingatkan diri sendiri supaya “jangan panik”. Ucapannya kedengaran lebih seperti pemimpin jalanan yang sedang cuba mengawal kumpulan yang mula bersurai, bukannya negarawan yang sedang memandu sebuah negara. Tangan mengepal, suara meninggi, “kita ada pengalaman dan cara kita sendiri” — ungkapan yang biasa digunakan apabila tiada jawapan yang meyakinkan.

Rakyat biasa tak minta pemimpin jadi hero wayang. Mereka cuma mahu nakhoda yang tak perlu berleter panjang pasal “jangan pecah” kerana kapal memang tak bocor dari luar, tapi dari dalam. Yang retak adalah kepercayaan. Yang bocor adalah harapan yang dulu mereka jual dengan begitu murah.

Jadi teruslah laungkan “anak kapal tak boleh berpecah”.

Tapi kalau nakhoda sendiri sudah mula tunjuk tanda panik dan guna gaya pidato pasar malam, jangan salahkan penumpang yang mula mencari sampan kecil untuk selamatkan diri. Kapal besar yang indah di pentas merah itu, rupanya, semakin lama semakin rapuh.

 

FOKUS

Zara Qairina

Berkaitan

Benarkah nak membantu Tabung Haji? Kenapa ini yang berlaku? di mana sifat amanah?

Menteri Agama Tak Tabayyun Dalam Isu RCI Tabung Haji?

[VIDEO] Hotel FELDA mana nak dijual? PMX, jangan buat rakyat keliru

Terkini:

Menteri Agama Tak Tabayyun Dalam Isu RCI Tabung Haji?

[VIDEO] Hotel FELDA mana nak dijual? PMX, jangan buat rakyat keliru

Mengenai kami