Pemberian BR1M, Kerajaan Tepati Janji - pakdin.my

BR1M-3-2014

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan aku janji yang diumumkan dalam manifesto BN pada pilihan raya umum ke-13, membantu meringankan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah.

Ia bukan hanya ‘cakap kosong’ kerajaan, sebaliknya pemberian bantuan itu kepada rakyat dapat dilakukan hasil langkah-langkah kerajaan membangunkan ekonomi negara ke arah landasan yang kukuh dan rasionalisasi subsidi.

Bagi pakej BR1M 2014, yang dibayar sejak 22 Feb, kerajaan memperuntukkan RM4.6 bilion bagi memberi manfaat kepada 7.9 juta penerima.

Sejauh manakah pemberian BR1M membantu meringankan beban rakyat?

KERAJAAN PRIHATIN

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat menyifatkan pemberian BR1M itu membuktikan kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat dan konsisten dalam tindakannya.

Meskipun ada pihak yang cuba menidakkan bantuan kerajaan itu kononnya ia menggula-gulakan rakyat sementelah pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang akan diadakan pada 23 Mac, beliau berkata dakwaan itu meleset kerana BR1M sedikit sebanyak membantu meringankan beban rakyat.

“Pemberian BR1M ini kerajaan telah rancang lebih awal untuk beri, ia tidak ada kaitan dengan pilihan raya kecil di Kajang kerana ia bukan diberikan kepada penduduk Kajang sahaja sebaliknya BR1M diagihkan kepada seluruh rakyat.

“Pada saya ini satu usaha murni kerajaan untuk membantu sebilangan kecil mereka yang tidak berkemampuan dan ini merupakan satu manifestasi janji kepada rakyat,” katanya kepada Bernama.

BR1M, bantuan terus kepada rakyat berpendapatan rendah, hanyalah satu daripada bentuk bantuan, skim, program kebajikan dan subsidi tertumpu yang dilaksanakan kerajaan untuk membantu golongan berkenaan.

Pada tahun ini, pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 manakala individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan juga dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Buat pertama kalinya BR1M diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

BR1M BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN

Sementara itu Pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fadlan Mohd Othman berkata pemberian BR1M tidak melanggar syariat Islam.

“Konsep BR1M ini setidak-tidaknya membantu rakyat dan membawa kebaikan kepada rakyat. Walaupun mungkin sebilangan berpendapat bantuan diberikan tidak seberapa namun ia memberi manfaat kepada masyarakat,” kata Pengerusi Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu).

Bagi seorang kakitangan swasta Azlan Jusoh, 25, berkata pemberian BR1M kepada rakyat ibarat ‘durian runtuh’ bagi mereka yang amat memerlukan.

“BR1M bukan hanya membantu sebaliknya meringankan beban rakyat terutamanya bagi golongan belia yang masih belum bekerja, dengan adanya duit ini, ia boleh digunakan untuk simpanan masa hadapan,” kata pemuda berasal dari Kuala Krai, Kelantan.

Dalam pada itu, katanya golongan belia perlu bijak membelanjakan bantuan BR1M dengan lebih berhemah dan tidak membazir.

“Saya lihat rata-rata golongan belia apabila dapat sahaja duit BR1M terus berbelanja ikut nafsu, beli benda yang tidak patut beli. Tidak salah berbelanja tetapi harus mengikut keperluan dan bukan kehendak semata-mata,” katanya, sambil mengharapkan bantuan BR1M akan diteruskan di masa hadapan.

Turut berkongsi pandangan seorang pekerja swasta Siti Zuraina Rahmat, 29, berkata pemberian BR1M ini dapat membantu rakyat untuk menceburi bidang perniagaan bagi menjana pendapatan sampingan.

“Kalau harapkan gaji semata-mata memang tak cukup. Adanya bantuan BR1M ini sedikit sebanyak membantu saya untuk membeli alat solek untuk digunakan dalam bidang perniagaan solekan. Kebiasaannya modal untuk satu set alat solek itu lebih RM400,” katanya yang baru berjinak-jinak dalam bidang andaman dan solekan pengantin.

UTAMAEKONOMIPemberian BR1M, Kerajaan Tepati Janji

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium