Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-Undang GST - pakdin.my

Parlimen-PCA-Table

Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Rang undang-undang itu diluluskan menerusi undi belah bahagi sebanyak dua kali dengan undian kali pertama pembangkang memperoleh 81 undi berbanding penyokong kerajaan mendapat 118 undi.

Undian kali kedua menyaksikan pembangkang kekal 81 undi, manakala penyokong kerajaan memperoleh 119 undi.

Terdahulu ketika menggulung perbahasan rang undang-undang yang mewujudkan peruntukan bagi pengenaan dan pemungutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata GST akan memberi implikasi positif kepada nilai eksport dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Eksport akan meningkat 0.5 peratus kerana barang-barang eksport akan jadi murah dan kompetitif, dan KDNK secara keseluruhan akan meningkat kepada 0.3 peratus,” katanya.

Ahmad berkata struktur GST di Malaysia merangkumi pengecualian terhadap pelbagai jenis barang dan perkhidmatan yang bertujuan memenuhi keperluan rakyat di negara ini.

Ini berbeza di Singapura yang mengenakan GST ke atas semua jenis barang dan perkhidmatan kecuali perkhidmatan kewangan serta rumah kediaman, katanya.

Kadar GST sebanyak enam peratus yang ditetapkan kerajaan adalah bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk pengurangan cukai individu, cukai korporat dan bantuan kewangan tunai, jelasnya.

Selain itu, Ahmad berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk tidak menggunakan terma ‘caj perkhidmatan’ bagi perkhidmatan di hotel dan restoran memandangkan terdapat pengguna keliru antara cukai perkhidmatan yang dikenakan kerajaan dan pengusaha.

“Apa yang penting sekarang ialah memberi penerangan kepada pengguna mengenai caj perkhidmatan dan perbezaannya dengan cukai barang dan perkhidmatan.

“…dan ada baiknya cadangan itu dibincangkan agar caj perkhidmatan ditukar nama sama ada menggunakan terma caj restoran, caj hotel atau tips,” kata Ahmad.

Beliau berkata langkah itu juga sebagai usaha untuk memastikan tidak ada pengusaha restoran atau hotel yang mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tersebut sehingga mengelirukan pengguna.

Oktober lepas, semasa pembentangan Bajet 2014 di Parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan CBP berkuat kuasa 1 April 2015 pada kadar enam peratus, menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

UTAMADewan Rakyat Lulus Rang Undang-Undang GST

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium