Cabaran Pengamal Media Baru Dalam Melaporkan Isu #MH370 - pakdin.my

MH370-media-report

Sudah sebulan berlalu tragedi kehilangan pesawat Malaysian Airlines (MAS) penerbangan MH370, dan selama itu juga pengamal media bertungkus lumus melapor perkembangan terkini proses mencari pesawat itu.

Pengamal media adalah kumpulan yang paling sibuk apabila berlakunya sesuatu bencana besar dan tragedi kehilangan penerbangan MH370 membawa cabaran tersendiri dalam membuat liputan berita dan penulisan laporan khas.

Bagi pengamal media seperti penulis ini sebagai pemberita kadet, sudah pasti insiden seumpama ini memberi cabaran yang begitu besar dalam mengumpul dan menyampaikan maklumat yang tepat.

Apatah lagi masyarakat mengeluh bahawa media tidak menyalurkan maklumat yang cukup berhubung kehilangan pesawat MH370. Masalah yang sama turut dihadapi oleh pengamal media apabila kurangnya sumber maklumat yang sahih.

MAKLUMAT TERHAD SEBAGAI CABARAN

Seperti penulis ini, seorang lagi rakan pemberita kadet, Vikneswaran A/L Raman, berkata kekurangan maklumat berhubung banyak spekulasi yang timbul adalah antara cabaran yang terpaksa dilaluinya.

Selepas sebulan kehilangan pesawat ini, masih ada 1001 spekulasi yang boleh didengari bermula daripada teori-teori segera yang dibincangkan di kedai kopi sehinggalah teori pakar-pakar industri penerbangan yang membincangkan segala kemungkinan.

Menurutnya lagi, beliau terpaksa menunggu lama untuk memperoleh maklumat yang sahih daripada pihak berkuasa.

Manakala bagi seorang lagi pemberita kadet Suziela Che Mat, cabaran sebenar selain kurang mendapat maklumat daripada sumber sahih adalah apabila berhadapan dengan keluarga penumpang pesawat MH370 terutama keluarga dari China yang tidak boleh berbahasa Inggeris atau Melayu.

Penulis sendiri berdepan kesukaran untuk mengumpul maklumat penting berhubung insiden ini dan terpaksa berada dalam keadaan mod sedia atau ‘standby’ di lapangan terbang KLIA sehingga awal pagi selama beberapa hari.

Bagi penulis dan rakan-rakan seperjuangan, pengalaman membuat liputan tragedi MH370 ketika baharu menceburi bidang kewartawanan adalah satu yang paling berharga dan akan dikenang sampai bila-bila.

MENGURUS KRISIS KOMUNIKASI

Kekurangan maklumat mengenai tragedi MH370 yang dialami wartawan membawa implikasi yang luas, pertamanya orang ramai yang ingin tahu perkembangan berhubung insiden ini tidak mendapat maklumat yang mereka cari dan seterusnya ini mencetuskan pelbagai spekulasi yang tidak berasas.

Pendek kata krisis komunikasi menjadi punca kekalutan berhubung tragedi MH370 terutamanya pada peringkat awal.

Mengulas isu bagaimana untuk menguruskan krisis komunikasi supaya segala maklumat berhubung tragedi MH370 dapat disalurkan dengan betul, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad berkata, dua pihak terlibat secara langsung ialah pembekal maklumat dan pengumpul maklumat.

“Pembekal maklumat adalah pihak berkuasa yang menguruskan krisis ini manakala pengumpul maklumat adalah kalangan pengamal media yang akan melaporkan berita kepada khalayak.

“Pihak yang membekal maklumat perlu tahu maklumat apa yang perlu disebarkan kepada pihak yang mengumpul maklumat supaya tidak wujud percanggahan pendapat,” katanya.

Bagi pengumpul maklumat iaitu para pengamal media, elakkan bertanya soalan yang hanya terhasil daripada spekulasi bagi mendapatkan pengesahan pemberi maklumat.

“Elak bertanya soalan yang tak relevan dengan situasi semasa apabila berinteraksi dengan pihak yang memberi maklumat, ini akan mengelirukan banyak pihak apabila ingin mengumpul maklumat sebenar,” katanya.

Cabaran kemudian beralih kepada pengamal media yang seterusnya akan memudahkan penyampaian maklumat yang diperoleh untuk bacaan umum supaya kelak tidak timbul salah faham di peringkat khalayak umum.

Pesawat yang membawa 227 penumpang termasuk 12 anak kapal itu berlepas dari KLIA dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada awal pagi 8 Mac lepas apabila hilang daripada radar ketika melalui Laut China Selatan.

Pesawat Boeing 777-ER itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama. Usaha mencari pesawat itu kini ditumpukan di selatan Lautan Hindi di luar perairan Perth, Australia.

UTAMABERITACabaran Pengamal Media Baru Dalam Melaporkan Isu #MH370

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium