BANJIR: 12 tanah rancangan FELDA terbabit banjir di seluruh negara - pakdin.my

banjir-felda--

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengenal pasti sebanyak 12 tanah rancangan seluruh negara terlibat banjir dengan Felda Chiku, di Gua Musang, Kelantan merupakan kawasan paling teruk terjejas.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, pentadbiran FELDA kini masih menjalankan bancian mengenai jumlah kerosakan harta benda warga Felda di seluruh negara dan akan mengumumkan sebaik sahaja ia selesai.

“Saya ingat dalam minggu depan siaplah laporan bancian ini, sehingga kini sebanyak 4,200 mangsa melibatkan 949 keluarga telah kita kenal pasti. Insya-Allah kita akan dapat selesaikan tidak lama lagi,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 109 mangsa banjir FELDA Seberang Tayor di sini hari ini.

Mohd Isa berkata, setakat ini buat permulaan, bantuan kecemasan sebanyak RM500 telah diberikan kepada mangsa terlibat.

“Selain itu, Felda juga akan membayar Bonus Insentif Produktiviti Peneroka (BIPP) kepada 93,891 peneroka seluruh negara pada Rabu dan Khamis ini,” katanya.

Katanya, tanah rancangan FELDA Chiku merupakan yang paling teruk terjejas banjir berbanding kawasan Felda lain, dengan hubungan daratnya terputus sebagaimana yang dialami beberapa kawasan di seluruh Kelantan.

Bagi tanah rancangan FELDA di Terengganu pula, Mohd Isa berkata, FELDA Seberang Tayor dan FELDA Neram di Kemaman merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat banjir kali ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Isa berkata, FELDA telah berjaya mengutip sejumlah RM1.5 juta hasil sumbangan orang ramai untuk mangsa banjir dan dana itu akan digunakan untuk pembelian barangan makanan dan keperluan harian mangsa banjir.

Terdahulu Mohd Isa melawat 11 buah rumah di FELDA Neram Dua Bandar Cheneh Baru di sini yang rosak akibat tanah runtuh berikutan rumah mereka terletak di kawasan berbukit setinggi 30 meter.

“Saya sudah minta Pengurus Besar FELDA Wilayah Timur untuk memanggil Ikram (Institut Kerja Raya Malaysia) untuk membuat kajian tanah runtuh di kawasan itu bagi mengatasi pergerakan tanah dengan kadar segera,” katanya.

UTAMABERITABANJIR: 12 tanah rancangan FELDA terbabit banjir di seluruh negara

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium