Taman Negara Kuala Tahan dibuka kepada pelancong pada Februari - pakdin.my

Keadaan Resort di Kuala Tahan yan turut dilanda banjir
Keadaan Resort di Kuala Tahan yan turut dilanda banjir

Kawasan peranginan Taman Negara Kuala Tahan yang terjejas banjir baru-baru ini, hanya akan dibuka kepada pelancong dua minggu lagi selepas selesai kerja pembersihan dan baik pulih kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata ketika ini banyak pengusaha dan pemilik resort di kawasan berkenaan terpaksa menutup operasi buat sementara waktu bagi memulih dan mengindahkan semula kawasan yang terjejas.

“Kita juga sedang bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengindahkan semula kawasan berkenaan dan kawasan tumpuan pelancongan yang terjejas di negeri ini akibat banjir.

“Selain proses mengindah dan membersihkan kawasan peranginan, kita juga sedang mangaudit jumlah kerugian premis milik kerajaan dan akan mencari mekanisme terbaik bagi membantu pengusaha pelancongan yang mengalami kerugian ekoran bencana banjir baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program misi gotong-royong pasca banjir di Taman Negara Kuala Tahan di sini semalam, anjuran Pelancongan Pahang.

Turut hadir, Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Datuk Ishak Mokhtar, Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Pahang (PPPP), Datuk Shahariman Hamdan dan Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan, Superintendan Noor Hisyam Nordin.

Kira-kira 150 sukarelawan dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan termasuk anggota persatuan PPPP, PGA serta penduduk kawasan terbabit dalam program gotong-royong, dua hari itu.

Mohd Sharkar dalam pada itu berkata industri pelancongan Pahang mungkin terjejas sepanjang tempoh beberapa bulan ini memandangkan banyak pusat pelancongan terpaksa ditutup bagi proses baik pulih.

“Selain memerlukan masa untuk membaik pulih chalet dan inap desa yang terbabit, pelancong juga mungkin telah memilih destinasi pelancongan lain.

“Namun, saya percaya keadaan ini tidak akan berterusan dan kedatangan pelancongan akan meningkat kembali selepas keadaan pulih seperti sedia kala,” katanya.

Dalam pada itu Mohd Sharkar berkata selain Taman Negara, usahawan industri kraftangan di negeri ini juga turut terjejas.

“Dianggarkan usahawan kraftangan di empat daerah iaitu Temerloh, Kuantan, Pekan dan Rompin mengalami kerugian kira-kira RM275,500 dalam bencana berkenaan.

“Kita berharap Kementerian Pelancongan dapat mengadakan insentif kepada pengusaha kraftangan ini supaya mereka boleh menjalankan semula perniagaan seperti sedia kala,” katanya.

UTAMATaman Negara Kuala Tahan dibuka kepada pelancong pada Februari

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium