Penulis blog, Milosuam, atau nama penuhnya Yusuf Al-Siddique Suratman dijatuhkan hukuman dua tahun penjara, hukuman maksimum kepada individu yang didapati bersalah di bawah Seksyen 505 Kanun Kesiksaan.
Pada 2013, Yusuf memuat naik dua posting, satu daripadanya dokumen yang diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi mengenai pencerobohan militan Sulu di Sabah, dan satu lagi mengenai pasukan polis membuang undi awal.
Namun, dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Lawyers for Liberty berkata, mahkamah membenarkan hukuman itu tidak dijalankan sementara rayuan kes itu dibuat.
“Milosuam didakwa di Kota Kinabalu walaupun dia berpangkalan di Selangor/Kuala Lumpur. Dia ditahan di Kuala Lumpur pada Mei 2013 dan tidak pernah menjejakkan kaki di Kota Kinabalu ketika posting itu dibuat.
“Perbicaraannya di Kota Kinabalu dikutuk sebagai diadakan secara sewenang-wenangnya dan ia tidak perlu,” tulis Lawyers for Liberty.
Seksyen 505 Kanun Kesiksaan adalah hukuman menyebabkan gangguan awam.
Di bawah seksyen itu, sesiapa yang menyebabkan, menyiarkan atau menyebarkan kenyataan, khabar angin dengan niat untuk menyebabkan atau akan menyebabkan gangguan awam antara pasukan bersenjata atau orang awam boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Yusuf menyiarkan sepucuk surat yang diedarkan kepada ketua polis daerah berkenaan tindakan keselamatan ketika pencerobohan militan militan.
Dia turut mendakwa pasukan polis membuang undi awal, yang dinafikan oleh pihak polis walaupun terdapat kemungkinan sebahagian anggota polis membuat undi pos.