Rotan: Tak Perlu Melatah, Perlu Fahami Cadangan Itu - pakdin.my

KPWKM - Datuk Ruhani

Orang ramai tidak perlu melatah dengan cadangan untuk menetapkan tindakan merotan kanak-kanak sebagai kesalahan jenayah dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu, kerana hanya mereka yang menghukum anak sehingga mendatangkan kecederaan sahaja bakal berdepan dengan tindakan itu.

Tambahan pula, kesalahan mencederakan kanak-kanak sememangnya telah termaktub di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ini jelas menunjukkan bahawa bukan dengan tindakan merotan sahaja yang boleh dikenakan hukuman, bahkan dengan menggunakan apa-apa cara sekalipun, yang membawa kepada kecederaan, boleh dikenakan tindakan.

Isu berkenaan menimbulkan pelbagai polemik selepas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan tindakan merotan dalam akta baharu yang dikenali sebagai Akta Kanak-Kanak 2015 bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001.

Hakikatnya, ramai yang tersalah tafsir cadangan itu tanpa memahami keseluruhan cadangan berkaitan rotan berkenaan.

Ada yang menuduh kerajaan memutuskan perkara itu atas desakan luar, meminggirkan syariat Islam, seolah-olah menjadikan ibu bapa penjenayah, bertujuan meruntuhkan institusi kekeluargaan di Malaysia, melahirkan generasi ‘besar kepala’ dan sebagainya.

Berikutan keadaan itu, Menterinya, Datuk Rohani Karim kemudian tampil membidas kenyataan yang disalah tafsir itu dengan menegaskan bahawa peruntukan yang dicadangkan kementerian itu dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu bukanlah bermaksud setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah.

Mengulas kenyataannya berhubung perkara itu, Rohani berkata apa yang dicadangkan dalam Rang Undang-undang itu ialah memasukkan peruntukan yang lebih terperinci mengenai tindakan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau mental kepada kanak-kanak, dan ini termasuklah perlakuan merotan.

Kenyataan balas Rohani itu menunjukkan bahawa tidak mungkinlah hanya disebabkan merotan sedikit sahaja (untuk mendidik) seseorang itu (ibu bapa atau penjaga kanak-kanak) boleh dianggap melakukan jenayah.

Malah dalam agama Islam, sekalipun membenarkan perbuatan itu, ia tetap berlandaskan garis panduan tertentu.

Memang benar terdapat hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut bahawa ‘perintahlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka kerana tidak solat ketika mereka berumur sepuluh tahun’.

Namun, ia perlu dilakukan dengan cara yang betul tanpa menyeksa, mencedera atau meninggalkan kesan kepada kanak-kanak itu sendiri dengan niat mendera.

Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkata apa yang pentingnya ialah menggalakkan ibu bapa supaya menggantung rotan di dinding rumah agar anak-anak takut melakukan kesalahan.

“Adab merotan anak di dalam Islam adalah dengan cara membaringkan anak atas dua kerusi. Kalau ayah yang nak rotan, mak mesti ada di sebelah untuk pastikan ayah tidak hilang pertimbangan.

“Bahagian badan yang baik untuk merotan adalah di tapak kaki kerana walaupun sakit, namun tidak langsung mendatangkan bahaya malahan diyakini bagus untuk refleksologi,” katanya.

Isu rotan hanya disalah tafsir dan tidak perlu diperbesarkan atau dipolitikkan lagi.

Setiap undang-undang yang akan dilaksanakan, pastinya tidak akan menghukum sewenang-wenangnya, tambahan pula terhadap mereka yang mahu mendidik anak-anak untuk menjadi generasi harapan negara.

 

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

 ROTAN SEHINGGA MENYEBABKAN KECEDERAAN FIZIKAL ATAU EMOSI KEPADA KANAK-KANAK

1. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ingin merujuk kepada liputan media berkaitan tindakan merotan anak menjadi kesalahan jenayah yang disiarkan oleh akhbar pada hari ini (25 Januari 2015) berdasarkan sidang media pada 24 Januari 2015 di Shah Alam.

2. Dalam sidang media tersebut, YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi penerangan bahawa cadangan di dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu akan merangkumi perkara-perkara berikut:

i. Penyertaan kanak-kanak selaras dengan prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child, CRC);

ii. Pemansuhan hukuman sebatan ke atas kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang (melakukan kesalahan jenayah);

iii. Peruntukan baharu yang membolehkan pelaksanaan konsep diversion; dan

iiii. Peruntukan baharu mengenai pelaksanaan deinstitutionalisation.

3. Pada masa ini seksyen 91 (1) (g) dalam Akta Kanak-Kanak 2001 membenarkan seseorang kanak-kanak lelaki dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada 10 kali sebatan apabila disabitkan dengan kesalahan melakukan jenayah. Dalam hal ini, hukuman sebatan di Mahkamah adalah berbeza dengan hukuman merotan sama ada di sekolah atau rumah. Hukuman sebatan di Mahkamah dilakukan secara teratur mengikut prosedur yang ditetapkan undang-undang. Walau bagaimanapun, atas alasan perkembangan psikologi dan selaras dengan CRC Kementerian bercadang untuk memansuhkan hukuman tersebut.

4. Selaras dengan cadangan pemansuhan hukuman sebatan di Mahkamah tersebut, Kementerian telah meneliti perlakuan merotan kanak-kanak di kalangan masyarakat Malaysia. Pada masa ini, peruntukan yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu bukanlah bermaksud supaya setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah.

5. Perlakuan merotan, sekiranya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau mental boleh terjumlah kepada melakukan kesalahan jenayah. Di bawah undang-undang sedia ada pun, sebenarnya perbuatan itu telah dijadikan suatu kesalahan di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau denda tidak melebihi dua puluh ribu atau kedua-duanya.

6. Kementerian sedang meneliti dan memperhalusi cadangan untuk memasukkan peruntukan undang-undang yang lebih terperinci supaya apa-apa perbuatan kepada kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi kepada kanak-kanak merupakan suatu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda yang lebih tinggi. Di samping itu, Kementerian juga mempertimbangkan untuk mengadakan hukuman alternatif seperti khidmat masyarakat atau kaunseling atau kursus ke ibubapaan.

7. Selaras dengan amalan konsultasi dan engagement secara berterusan dengan semua stakeholders dan
pihak berkepentingan, Kementerian ini akan meneruskan tradisi tersebut dalam penggubalan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak ini.

Disediakan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Aras 35, No. 55, Persiaran Perdana, Persint 4,
62100 Putrajaya.

UTAMARotan: Tak Perlu Melatah, Perlu Fahami Cadangan Itu

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium