Untung PETRONAS susut 39 peratus suku pertama akibat kejatuhan harga minyak - pakdin.my

petronas-logo

PETRONAS meraih pendapatan sebelum cukai RM17 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2015, susut 38 peratus berbanding RM27.2 bilion yang diperoleh pada suku sama tahun lalu.

Untung bersihnya pada suku pertama pula jatuh 39 peratus kepada RM11.4 bilion berbanding RM18.8 bilion suku sama 2014.

Pendapatan yang diperoleh syarikat minyak dan gas nasional itu pada suku dikaji berkurangan sebanyak 21 peratus kepada RM66.2 bilion daripada RM84 bilion pada suku pertama tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata penurunan hingga 38 peratus keuntungan sebelum cukai pada suku pertama adalah disebabkan pendapatan lebih rendah susulan kejatuhan 50 peratus harga minyak.

“Begitupun, ia sebahagiannya diimbangi oleh jualan lebih tinggi minyak mentah, gas diproses serta gas asli cecair.

“Ia juga diimbangi oleh pergerakan kadar tukaran asing dolar Amerika Syarikat berbanding ringgit yang memihak kepada PETRONAS,” katanya mengumumkan prestasi kewangan PETRONAS di sini hari ini.

Ini kali pertama Wan Zulkiflee mengetuai sidang akhbar prestasi kewangan PETRONAS sejak dilantik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa 1 April lalu.

Wan Zulkiflee berkata, harga purata minyak mentah Brent pada suku pertama 2015 ialah AS$54 setong, berbanding AS$108.20 pada suku pertama 2014. Pengeluaran, bagaimanapun katanya meningkat sebanyak lima peratus disebabkan peningkatan pengeluaran minyak di Malaysia dan Vietnam.

Menuju ke depan, beliau berkata PETRONAS akan memberikan perhatian kepada perkara yang boleh dikawal termasuk pengeluaran, loji dan kemudahan kumpulan.

“Kami menjangkakan purata harga minyak berlegar pada paras semasa untuk beberapa suku tahunan akan datang,” katanya.

PETRONAS akan membayar dividen sebanyak RM26 bilion kepada kerajaan pada tahun ini. Tahun lalu, ia membayar dividen RM29 bilion kepada kerajaan.

UTAMAEKONOMIUntung PETRONAS susut 39 peratus suku pertama akibat kejatuhan harga minyak

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium