Kememelut Pakatan Pembangkang: Apa Kesudahan Di Selangor? - pakdin.my

azmin-kemelut-pakatan-selangor

Lanskap politik Selangor pasti berubah wajah susulan krisis terbaharu gabungan pakatan pembangkang apabila DAP memutuskan bahawa Pakatan Rakyat (PR), yang dibentuk bersama PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak lagi wujud.

Perkembangan terbaharu dalam gabungan pembangkang, yang membentuk kerajaan negeri Selangor itu, mahu tidak mahu mengheret kepada desas-desus kemungkinan berlaku perubahan dalam kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, yang mempunyai 56 kerusi.

Penganalisis politik melihat kedudukan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor tidak terjejas walaupun riwayat PR sudah berakhir.

Ini kerana beliau hanya boleh disingkirkan daripada jawatan melalui usul undi tidak percaya di DUN.

Yang demikian, apakah Mohamed Azmin perlu mendapatkan deklarasi berkanun mengenai sokongan daripada Anggota DUN bagi menjamin kedudukannya sebagai Menteri Besar?

Kerajaan pimpinan PKR itu dibentuk hasil gabungan DAP dan PAS yang masing-masing mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PKR memegang 13 kerusi. Selain tiga parti itu, Barisan Nasional (BN) mempunyai 12 kerusi dan Bebas satu kerusi.

Bagi membentuk kerajaan, mana-mana parti atau gabungan parti perlu mempunyai majoriti mudah 29 kerusi.

Hakikatnya kemelut pakatan dalam konteks kerajaan Selangor, yang diterajui PKR, memerlukan sama ada PAS atau DAP perlu berundur memandangkan kedua-dua parti telah membuat keputusan memutuskan kerjasama.

PKR sendiri mengetahui hal ini dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataannya semalam mengakui bahawa gabungan politik PR tidak lagi berfungsi secara formal.

Pengumuman Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mengisytiharkan bahawa ‘PR tidak lagi wujud’ pada Selasa sudah pasti memberi kesan besar kepada kedudukan PAS di Selangor terutama tiga anggota Exco kerajaan negerinya yang selama ini menjalin hubungan baik dengan DAP dan PKR di bawah pentadbiran Mohamed Azmin.

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad, yang juga seorang daripada anggota Exco kerajaan negeri, menutup rapat mulutnya dan enggan melayan sebarang panggilan telefon atau khidmat Whatsapp ketika ditanya mengenai kenyataan Lim itu.

Bagaimanapun, menerusi kenyataan di laman Facebook beliau pada Selasa, Iskandar menyatakan bahawa Anggota-anggota Dewan Negeri PAS Selangor menggesa supaya usaha dilakukan untuk mengukuhkan gabungan pakatan selaras dengan ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar PAS baru-baru ini yang menegaskan bahawa PAS komited terhadap pakatan itu.

Menurut Iskandar, anggota Dewan negeri PAS Selangor bersetuju agar semua pihak perlu berusaha untuk memulihkan hubungan di dalam pakatan itu walaupun terdapat banyak cabaran dan mereka yakin ketiga-tiga parti (PAS-DAP-PKR) berupaya menangani sebarang masalah yang timbul dengan bijaksana melalui perundingan.

Persoalannya, jika hubungan DAP dan PAS sudah tidak boleh diselamatkan lagi dan PAS memutuskan untuk keluar daripada gabungan itu, adakah kemungkinan berlaku pilihan raya negeri? Jika tidak, apakah strategi DAP dan PKR bagi mengekalkan pemerintahan sedia ada?

Lim dalam kenyataannya pada Selasa turut berkata DAP akan menyokong pucuk pimpinan Mohamed Azmin untuk merangka semula kerajaan negeri Selangor dengan pakatan baharu yang mampan.

Selain kemungkinan bergabung dengan parti baharu bagi menggantikan PAS, DAP dan PKR dilihat hampir pasti berusaha mengekalkan pentadbiran sedia ada di Selangor tanpa perlu membubarkan DUN termasuk mendapatkan sokongan daripada mana-mana Adun PAS yang ‘sanggup menghianati’ parti sendiri.

Jika begitu percaturannya, tumpuan sudah pasti tertumpu kepada dua Adun PAS Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) yang ketika ini digantung daripada parti kerana menyokong Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor ketika krisis pentadbiran di negeri itu tahun lepas.

Ketika dihubungi Bernama, Hasnul berkata beliau bersedia memberi sokongan kepada PKR dan DAP sekiranya mereka memutuskan untuk mengekalkan kerajaan negeri pakatan pembangkang di Selangor tanpa PAS.

“Sekiranya diperlukan saya akan memberi sokongan kepada Menteri Besar (Mohamed Azmin) dan DAP untuk kekal mentadbir Selangor.

“Keputusan ini adalah yang terbaik untuk masa depan politik pakatan pembangkang di Selangor dan kebajikan rakyat di negeri ini. Apapun saya akan tunggu dahulu tindakan selanjutnya daripada Menteri Besar,” katanya.

Bagaimanapun, pendirian Saari sehingga kini masih tidak diketahui, sama ada akan kekal bersama PAS atau memihak kepada PKR.

Apapun, semua mata kini terarah kepada PKR dan Mohamed Azmin yang sehingga kini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pendirian PKR di Selangor; sama ada memilih untuk bersama DAP atau PAS atau kekal bekerjasama dengan kedua-dua parti itu.

Mohamed Azmin sudah tentu tidak mahu kuasanya di Selangor berakhir dengan cepat dan sudah pasti tidak mahu gabungan pakatan di negeri itu terkubur.

UTAMAPOLITIKKememelut Pakatan Pembangkang: Apa Kesudahan Di Selangor?

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium